NasionalPendidikan

Penggunaan Bahasa Melayu harus merentas disiplin ilmu-Khaled Nordin

PELAN Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPT 2011 – 2015 dilancarkan buat kali ketiga, hari ini. Pelan tersebut telah dibangunkan susulan satu Kajian Penggunaan Bahasa di IPTA yang dijalankan pada tahun 2010 lalu.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kajian tersebut mendapati nisbah penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di dalam program-program pengajian Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berada pada tahap yang berbeza-beza merentasi pelbagai disiplin program.

SIMBOLIK pelancaran Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPT 2011 – 2015 disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. GAMBAR KPT

“Dapatan tersebut meyakinkan Kementerian bahawa satu intervensi mesti dilakukan. Kita tidak mahu kedudukan bahasa Melayu merosot dan dilihat tidak penting dalam ekosistem pendidikan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sebagai kesinambungan daripada segala usaha tersebut, pelan ketiga yang membawa beberapa penegasan baharu diharap dapat terus memartabatkan kedudukan bahasa Melayu.

Khaled juga berkata, beliau percaya, potensi dan kedudukan bahasa Melayu mesti terus diangkat dalam segenap lapangan.

Namun katanya, potensi ini tidak akan menzahirkan apa-apa hasil yang baik, sekiranya tidak digilap dan diketengahkan secara tersusun dan strategik.

“Sebab itulah kita harus mempunyai pelan dan perancangan yang jelas. Bukan sekadar semangat dan kemahuan yang berkobar-kobar.

“Kita memilih untuk menjadikan IPTA sebagai salah satu daripada pentas penting dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu atas beberapa sebab,” ujar beliau.

Pertama sekali dan sebab paling utama antara semua adalah kerana IPTA harus bersama-sama menggalas misi nasional, katanya.

“Jadi, selain menjadi medan menyampaikan ilmu terbaik, merancak penyelidikan yang berguna kepada masyarakat dan menyediakan ruang untuk mahasiswa mendewasa dan matang, institusi pendidikan tinggi mesti turut serius dalam menggalas tugas untuk bersama-sama menjayakan agenda nasional,” jelas beliau.

Tambah beliau, IPT tidak boleh melihat dirinya terpisah daripada agenda nasional.

“Benar, IPT boleh memilih cara dan pendekatan berbeza untuk melakukan sesuatu perkara. Tetapi ia tidak pernah terlepas dari tanggungjawab tersebut.

“Dan pada saya, mengangkat martabat dan kedudukan bahasa kebangsaan adalah salah satu daripada misi dan agenda nasional yang mesti disokong oleh semua IPT,” katanya.

Khaled juga berkata, tindakan golongan bijak pandai adalah suri teladan terbaik kepada masyarakat.

Jika bijak pandai yang berada di universiti dan sektor pendidikan tinggi sendiri tidak memartabatkan bahasa Melayu maka sudah pastilah sukar untuk kita mengharapkan segmen lain dalam masyarakat untuk melakukannya, tegas beliau.

“Ketiga, di universitilah potensi dan kekuatan Bahasa Melayu dapat dibangunkan.

“Bulan lepas, saya di Universiti Malaya menyampaikan Syarahan Za’ba berkaitan masa depan Pengajian Melayu.

“Dalam syarahan tersebut, saya berhujah bahawa untuk menjadikan bidang Pengajian Melayu sebagai disiplin strategik dan paling penting untuk negara, cakupan pengajiannya harus merentas disiplin.

“Dan ia mesti menyentuh pelbagai ruang litup kepentingan orang Melayu. Cendekiawan dengan aneka latar belakang mesti diyakinkan untuk bersama-sama membawa nilai tambah dalam pengajian Melayu,” katanya.

Beliau berkata, walau pun hari ini ikhtiar kita di Taman Ilmu dan Budi ini adalah berkaitan Bahasa Melayu secara spesifik, beliau percaya pengamatannya dalam Syarahan Za’ba tersebut turut terpakai.

“Penggunaan Bahasa Melayu harus merentas disiplin ilmu. Ia bukan sekadar medium penghantar untuk pembelajaran berkaitan bahasa atau budaya orang Melayu sahaja.

“Ia bukan tentang pertuturan seharian semata-mata dan sudah pastilah ia tidak seharusnya terhad dalam urusan rasmi Kerajaan sebaliknya Bahasa Melayu mesti hadir dan digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang,” katanya.

Justeru beliau berkata, untuk semua itu berlaku, Bahasa Melayu sendiri harus mempunyai keanjalan dalam menyampaikan ilmu.

“Bahasa Melayu mesti mempunyai perbendaharaan kata dan sistem yang meraikan pelbagai tradisi dan epistemologi.

“Baik dalam lingkungan akademik mahu pun dalam persekitaran yang tidak formal.Hanya dengan yang demikian, Bahasa Melayu akan mempunyai kekuatan yang memungkinkannya menjadi bahasa ilmu,” katanya. – SM

(Visited 128 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button