Nasional

Jangan persoal hak orang Melayu – Tajuddin

Orang bukan Melayu juga ada hak tapi berbeza

AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegaskan, hak orang Melayu tidak boleh dipersoalkan kerana mereka adalah penduduk asal negara ini.

Dalam perbahasan yang bersambung selepas Dewan Rakyat berhenti rehat waktu tengah hari tadi, Tajuddin berkata, mungkin segelintir tidak mahu menerima ini adalah Tanah Melayu dan mungkin beberapa orang luar juga tidak mahu menerimanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, orang bukan Melayu turut mempunyai hak namun ia berbeza dengan hak orang Melayu.

“Ia perlu diterima. Hak pribumi tidak boleh dipersoalkan,” katanya.

Tajuddin yang juga Pengerusi Prasarana berkata, tidak perlu membangkitkan isu hak Melayu dalam sektor ekonomi atau pendidikan ataupun dari segi peluang perniagaan dan pekerjaan.

“Ini tidak boleh dipersoalkan tetapi harus diberi,” katanya selain menambah, perkara itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, kaum lain juga mempunyai hak kebebasan beragama, budaya dan pendidikan dan orang bukan Melayu turut berpeluang bekerja dan menjalankan perniagaan.

Pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Dr. Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) berkata, hak orang Melayu disertakan dengan tanggungjawab untuk menunjukkan contoh yang baik bagi kaum lain seperti memastikan negara sifar rasuah.

Bagaimanapun Tajuddin berkata, rasuah berlaku di mana-mana sahaja termasuk di negara-negara maju.

Terdahulu, Tajuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa gajinya selaku Pengerusi Prasarana adalah RM8,000 sebulan bukan RM40,000 hingga RM50,000 seperti yang didakwa. – FMT-SM

(Visited 532 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button