Politik

Sulaiman layak jadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka – Mohamad Ali

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 14 Mei – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau mengimpikan untuk menyandang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Menjelaskan perkara tersebut, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, tidak pernah timbul dibenak
fikirannya sebagai ahli parti ingin merebut jawatan yang disandang oleh Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Sebaliknya tegas beliau, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali adalah orang paling layak dilantik
sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) seperti mana dicadangkan oleh UMNO Bahagian Alor Gajah, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, kenyataan beliau sebelum ini bukan ingin memporakperandakan UMNO negeri sebaliknya ingin
mempertahankan kedudukan Sulaiman sebagai ketua menteri sehingga habis penggal selepas ada individu yang
rakus mengidam jawatan yang disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu.

“Rakyat Melaka sudah tahu tentang seorang individu yang bercita-cita tinggi hendak menjadi Ketua Menteri
selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November tahun lalu.

“Semua orang tahu siapa individu yang mengingkari keputusan pucuk pimpinan parti memilih Sulaiman sebagai
Ketua Menteri dan individu yang sama juga menimbulkan onak dengan segala ugutan serta paksaan terhadap
kepimpinan ADUN Lendu.

“Malah rakyat Melaka juga tahu punca kekecohan sewaktu majlis angkat sumpah jawatan Sulaiman dilakukan
sehingga pukul 1 pagi sejurus BN diumumkan memenangi PRN Melaka.

“Itulah yang terjadi akibat kerakusan individu terbabit memaksa majlis angkat sumpah yang sepatutnya
diadakan pada keesokan Ahad telah dibuat tergesa-gesa pada malam berkenaan,” ujarnya hari ini.

Mohamad Ali diminta mengulas kenyataan Ab. Rauf yang mengatakan khabar angin kononnya Sulaiman mahu
meletak jawatan sengaja diperbesarkan pihak tertentu walaupun perkara sebenar berulang kali dinafikan
berlaku.

Menurut ADUN Tanjong Bidara itu, pihak-pihak yang menyebarkan berita tersebut mungkin tidak sabar mahu
mengisi jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang disandang beliau.

Mengulas lanjut Mohamad Ali berkata, tuduhan isu menggantikan Sulaiman sengaja diperbesarkan adalah tidak
benar sebaliknya menegaskan perkara tersebut ada asasnya.

“Kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang! Tunggulah nanti ada perkara yang akan didedahkan,” ujarnya yang enggan mengulas lanjut kenyataan tersebut.

Kelmarin, Sulaiman dalam satu kenyataan dari Sarajevo, Bosnia and Herzegovina menafikan dakwaan bahawa
beliau telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri, sebaliknya menjelaskan ia hanya khabar angin yang
ingin mengganggu gugat kestabilan politik kerajaan negeri.

(Visited 237 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button