Ekonomi

Sukuk Wakalah Kelestarian SME Bank dibida RM1.78 bilion

Program Sukuk Wakalah Kelestarian pertama SME Bank yang diterbit pada 21 Julai lalu dibida lebih 3.56 kali ganda atau RM1.78 bilion daripada jumlah terbitan sebenar berjumlah RM500 juta.

Presiden Kumpulan dan juga Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Aria Putera Ismail berkata, proses penetapan harga sukuk berkenaan mendapat sambutan positif dan telah berjaya dimuktamatkan.

“Mengambil kira keadaan pasaran yang mencabar, pihak SME Bank berjaya menetapkan harga penerbitan pada kadar keuntungan yang sangat kompetitif iaitu sebanyak 3.10%.

“Menariknya, Sukuk Kelestarian ini telah mendapat permintaan yang luar biasa daripada pelabur domestik dan antarabangsa yang terdiri daripada institusi kewangan, syarikat pengurusan dana, syarikat insurans dan syarikat berkaitan kerajaan.

“Permintaan yang tinggi ini juga didorong oleh gerakan kesedaran di dalam dan di luar negara yang terus menyokong pembangunan yang seimbang dan lestari yang menjadi fokus utama Sukuk Kelestarian SME Bank,” kata Aria dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, SME Bank dapat menawarkan penyelesaian pembiayaan yang lebih inovatif untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan terbitnya Sukuk Kelestarian.

Sukuk Kelestarian juga akan terus memainkan peranan kitaran berbalas untuk memastikan kejayaan PKS untuk menjadi tonggak pertumbuhan ekonomi negara sekaligus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia juga diharapkan dapat mewujudkan peluang pekerjaan di samping dapat memberikan kesan positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

“Secara umumnya, sektor perbankan yang berkait rapat dengan semua aspek aktiviti ekonomi, boleh menjadi peneraju utama dalam meningkatkan kesedaran di kalangan PKS mengenai kepentingan mengamalkan prinsip-prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam operasi perniagaan mereka.

“Ini sangat penting memandangkan ESG telah menjadi kelaziman di persada antarabangsa dan PKS kita tidak sepatutnya ketinggalan sekiranya mereka ingin bersaing di peringkat global,” jelas Aria.

Fasa pertama dalam perjalanan ESG SME Bank adalah dengan memberi kesedaran kepada PKS melalui kemudahan pembiayaan untuk membiayai projek yang memenuhi keperluan ESG.

Fasa kedua pula melibatkan siri perbincangan untuk mendidik pengusaha PKS agar tidak hanya menggunakan pembiayaan untuk memenuhi keperluan ESG tetapi juga menerapkan elemen ESG dalam operasi perniagaan secara umum.

Program Sukuk Wakalah SME Bank terdiri daripada Nota Jangka Sederhana Islamik (IMTN) sehingga RM3.0 bilion (termasuk Sukuk Kelestarian) dan Kertas Komersial Islamik (ICP) sehingga RM1.0 bilion dengan had gabungan dalam nilai nominal sehingga RM3.0 bilion.

Program Sukuk Wakalah Jaminan Bukan Kerajaan pertama untuk SME Bank telah mendapat penarafan AAA oleh Malaysia Rating Corporation Berhad (MARC) dan juga penarafan tertinggi standard Emas untuk Rangka Kerja Sukuk Kelestarian.

SME Bank merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).-SM

(Visited 120 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button