Nasional

Dong Zong tidak puas hati polis dapatkan perintah mahkamah

TINDAKAN Polis Diraja Malaysia mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)  daripada meneruskan niat mereka untuk mengadakan kongres berkaitan pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakula mengecewakan pihak tersebut.

Menurut Dong Zong, pihak polis telah menyalahgunakan prosedur kehakiman dan telah merampas kebebasan bersuara mereka sebagai penganjur yang mematuhi undang-undang.

“Kami menyuarakan rasa tidak puas hati atas tindakan pihak polis membuat permohonan kepada mahkamah magistret Kajang untuk mendapatkan perintah larangan terhadap Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina pada 28 Disember 2019 dengan alasan mengganggu ketenteraman awam dan mendatangkan bahaya kepada nyawa atau keselamatan manusia.

“Pihak polis seharusnya mengambil tindakan terhadap individu dan kumpulan yang sengaja mengancam dan mengganggu Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina dijalankan secara aman.

“Ini merupakan tanggungjawab polis dan bukannya menyalahgunakan prosedur kehakiman yang telah merampas kebebasan menyuara kami sebagai penganjur yang mematuhi undang-undang,’ kata Dong Zong dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dong Zong, sehingga semalam sebanyak 1118 buah SJKC dan pertubuhan Cina telah menyatakan sokongan terhadap persidangan tersebut

Selain itu, lebih daripada 900 buah SJKC telah menandatangani untuk menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi di SJKC.

Semalam Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berjaya mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang pertubuhan itu daripada mengadakan persidangan berkaitan Jawi hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir, permohonan mahkamah itu bagi menghalang persidangan itu diadakan adalah untuk mengelak berlaku gangguan kepada ketenteraman awam yang boleh mencetuskan kegusaran orang ramai di daerah itu.

Kongres yang dirancang oleh Dong Zong mendapat reaksi negatif daripada beberapa kumpulan yang turut mengumumkan akan mengadakan himpunan di Stadium Kajang bagi membantah Dong Zong.

Sementara itu Dong Zong berkata, Garis Panduan Pelaksanaan Pengenalan Tulisan Jawi Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu Untuk Murid Tahun 4 SJK Mulai Tahun 2020 ataupun garis panduan yang dipinda pada 20 Disember lalu menunjukkan Kementerian Pendidikan tidak dapat menangani isu tulisan Jawi secara profesional malah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

Menurut Dong Zong, Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) merupakan komponen yang penting dalam SJKC, tetapi Kementerian Pendidikan Malaysia membuat keputusan bahawa pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi di SJK hanya akan dilaksanakan jika dipersetujui PIBG serta ibu bapa dan murid.

“Perbuatan ini langsung tidak menghormati hak dan kuasa Lembaga Pengelola Sekolah. Ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan masyarakat Cina, malah juga bukan langkah penyelesaian yang pragmatik terhadap isu tulisan Jawi. Keadaan ini menyebabkan masyarakat hilang keyakinan terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Memandangkan masyarakat Cina dan India tidak setuju dengan terhadap pelaksanaan PdP tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tahun 4 di SJK, maka sekiranya Kementerian Pendidikan Malaysia meneruskan dasar ini, tentu akan menyebabkan ketegangan hubungan antara rakyat dengan kerajaan, dan seterusnya menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara,” kata Dong Zong.-SM

 

 

 

(Visited 148 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button