Sukan

Arul Sevaraj dilantik ketua jurulatih hoki lelaki kebangsaan

PERSEKUTUAN Hoki Malaysia (PHM) melantik ketua penolong jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan Arul Selvaraj sebagai ketua jurulatih yang baharu menggantikan Roelant Oltmans yang peletakan jawatannya berkuat kuasa 1 Ogos (Sabtu) lepas.

Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal berkata Arul yang merupakan bekas pemain kebangsaan ditawarkan kontrak bersama KHM selama dua tahun dengan sasaran utama menyediakan pasukan terkuat bagi menghadapi temasya Sukan Asia 2022.

Subahan berkata bekas ketua jurulatih pasukan UniKL itu yang kini berada di Dublin, Ireland dijangka memulakan tugasnya dalam tempoh dua minggu selepas tamat tempoh kuarantin wajib yang akan beliau jalani apabila pulang ke tanah air tidak lama lagi.

“Ketua jurulatih baharu (Arul) ini akan diberikan peluang untuk memilih beberapa pemain yang beliau rasa perlu diserap balik dalam pasukan kebangsaan kerana saingan Piala Tun Abdul Razak akan berlangsung dan semua pemain kebangsaan dibenar mewakili pasukan negeri masing-masing.

“Ini akan buka peluang kepada ketua jurulatih dan pasukannya untuk memilih pemain yang dirasakan patut berada dalam skuad kebangsaan,” katanya pada sidang media di Pejabat PHM di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Subahan berkata pada masa ini, penolong jurulatih Mohd Amin Rahim akan mengambil alih tugas Arul buat sementara waktu dalam mengendalikan sesi latihan skuad kebangsaan.

Sementara itu, Subahan berterima kasih atas sumbangan Oltmans, 66 sepanjang dua tahun membimbing skuad kebangsaan.

“Pihak PHM ucapkan jutaan terima kasih atas khidmat beliau kepada pasukan kebangsaan selama dua tahun walaupun beliau ada beberapa kejohanan yang kita sebenarnya boleh capai lebih jauh tetapi gagal, namun kita faham beliau telah berikan sepenuh jiwa dan raganya,” kata Subahan.

Oltmans memaklumkan peletakan jawatannya menerusi sepucuk surat kepada PHM semalam, berkuat kuasa pada 1 Ogos sekalipun kontrak jurulatih dari Pakistan itu masih berbaki sehingga Oktober ini.

Dalam suratnya, Oltmans meletakkan pandemik COVID-19 dan keadaannya yang terpaksa berjauhan daripada keluarga dalam tempoh sukar ini sebagai sebab utama peletakan jawatannya.

“Saya telah berada di luar negara selama sembilan tahun dan jika tiada COVID-19, saya mungkin akan tinggal di sini sehingga tamat kontrak namun dalam keadaan yang tidak menentu ini saya terpaksa memilih keluarga dan diri sendiri,” demikian kata Oltmans dalam surat itu. – BERNAMA

(Visited 916 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button