Nasional

Petaling Street jadi tumpuan untuk membeli-belah perhiasan Tahun Baharu Cina

TANGLUNG,  pelbagai jenis bunga, pokok oren atau kumquat, pelekat kaligrafi Cina serta kain rentang, dan barang perhiasan lain yang kebanyakannya berwarna merah memenuhi kedai-kedai di kawasan Chinatown, Petaling Street di sini.

Kira-kira dua minggu lagi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, aroma buah berangan bakar dan daging salai serta berlatarbelakangkan bunyi muzik tradisional Cina, jelas memeriahkan lagi suasana di Petaling Street yang menawarkan pelbagai barangan untuk menyambut perayaan itu.

Orang ramai dilihat sibuk keluar masuk di setiap kedai untuk melihat trend terbaru barang perhiasan sebelum membelinya untuk menghiasi rumah mereka bagi meraikan Tahun Baharu Cina.

Yong Yin Ping, pembantu jualan di iDecor Home Sdn Berhad di Petaling Street, berkata setiap hari lebih 100 pelanggan mengunjungi kedai itu yang menawarkan barang perhiasan yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan saiz.

“Sebaik sahaja kedai dibuka pada 9.30 pagi, ramai pelanggan termasuk keluarga akan masuk untuk melihat dan membeli barang perhiasan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata hujung minggu dilihat menjadi pilihan ramai untuk membeli-belah keperluan mereka bagi meraikan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 25 Jan ini.

Bersempena dengan Tahun Tikus mengikut kalendar Cina, Yong berkata karakter kartun Mickey dan Minnie Mouse turut mendominasi barang perhiasan Tahun Baharu Cina dan menjadi pilihan popular dalam kalangan pelanggan.

Selain itu, katanya pelanggan turut memilih pelekat dan barang mainan mewakili tikus, haiwan pertama dalam kitaran 12 bulan dalam zodiak Cina.

Pelanggan turut membeli tanglung yang kini ditawarkan dalam pelbagai warna selain tanglung tradisional berbentuk bulat berwarna merah.

Di sebuah lagi kedai yang menjual barangan dan peralatan Tahun Baharu Cina, Nu Lycie Sdn Bhd, pelanggan dilihat memilih barang perhiasan dengan perkataan dan simbol yang mewakili aura positif.

“Pelanggan kami memilih membeli pelekat dan kain rentang yang mengandungi perkataan yang akan membawa tuah seperti ‘Wang Masuk’, ‘Kemakmuran’ dan ‘Kegembiraan’,” kata Pengurus Jualannya Lai Wai Meng

Kedua-dua kedai turut menawarkan diskaun antara 30 hingga 50 peratus dan melanjutkan masa operasi termasuk Ahad sehingga Tahun Baharu Cina.

Pelanggan turut mempunyai pilihan untuk membeli-belah untuk sambutan Tahun Baharu Cina di banyak lagi kedai di Petaling Street. – BERNAMA

(Visited 578 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button