Ekonomi

Belanjawan 2021: Usah risau had hutang negara, selamatkan rakyat

KERAJAAN diminta untuk terlalu terlalu risau terhadap had hutang negara yang baru-baru ini telah dinaikkan kepada 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, hutang negara adalah untuk diuruskan kemudian.  Sebaliknya urusan utama dan terpenting dalam Belanjawan 2021 ialah kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan rakyat.

“Belanjawan 2021 mesti digubal dengan matlamat ekonomi yang mengutamakan sudut pandangan kemanusiaan.

“Peningkatan hutang sementara bagi menampung penggandaan perbelanjaan adalah perlu, demi satu matlamat yang mulia dan penting, iaitu menyelamatkan rakyat Malaysia yang paling terkesan dan memulihkan kehidupan,” tegas Mohamad.

Jelas beliau, gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang melanda negara akan melambatkan lagi pemulihan ekonomi hingga ke suku pertama 2021.

Yang lebih merisaukan menurut Mogamad, satu daripada dua keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur kini berada dalam kemiskinan mutlak.

Berdasarkan Laporan siri ke-2 ‘Families on the Edge’ oleh UNICEF dan UNFPA, 37 peratus keluarga sukar membeli makanan yang mencukupi dan 70 peratus sukar memenuhi perbelanjaan keperluan asas.

Mohamad berkata, sekiranya pandemik dan perintah kawalan pelbagai peringkat  berlanjutan, Malaysia mungkin berhadapan dengan pemulihan berbentuk keluk-K.

Sesetengah industri akan memaparkan pemulihan ekonomi manakala industri lain terutamanya industri pelancongan dan penerbangan terus jatuh merudum.

“Pemulihan keluk-K ini juga akan terlihat nyata dalam kalangan masyarakat.

“Golongan berpendapatan tinggi kurang terkesan, tetapi golongan B40 dan M40 terutamanya yang bekerja sendiri, akan kehilangan mata pencarian dan ini akan menjejas kualiti kehidupan dengan teruk.

“Jurang ketidaksamarataan ekonomi akan semakin ketara,” kata Mohamad.

Oleh itu beliau mencadangkan, Belanjawan 2021 perlu bersifat belanjawan mengembang demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas teruk.

Katanya, ketika ini adalah masanya Kerajaan menggandakan bantuan dan rangsangan menggunakan pendekatan bersasar kepada golongan yang paling terhimpit.

Tegas beliau, Kerajaan tidak boleh membiarkan rakyat hidup merana, perniagaan ditutup selamanya dan ekonomi negara terperangkap dalam ‘irreversible damage’.

“Buat masa ini, naratif untuk mengurangkan defisit kerajaan sebagai langkah pengukuhan fiskal perlu ditolak jauh,” nasihat bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.

Beliau mencadangkan, bagi menampung peningkatan perbelanjaan dalam Belanjawan 2021 pihak kerajaan boleh menggunakan pinjaman tempatan dengan memanfaatkan pasaran bon tempatan terutamanya Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII).

Katanya, penggunaan pinjaman tempatan tidak akan memberi kesan buruk kepada ekonomi memandangkan Malaysia tidak akan terikat dengan peraturan luar negara, berbanding pinjaman dengan peraturan ketat daripada institusi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Tambahan pula, pinjaman tempatan kurang terdedah kepada risiko perubahan kadar faedah asing serta risiko penyusutan mata wang kerana hutang tersebut adalah dalam denominasi ringgit.

“Maka, usaha konsolidasi fiskal mesti ditangguhkan seketika sehingga tahun 2022, dengan harapan ekonomi negara akan dipulihkan sepenuhnya.

“Waktu itu, jika ekonomi pulih, perbelanjaan boleh dikurangkan dan langkah penjimatan diutamakan semula,” kata Mohamad.

Bagaimanapun menurut Mohamad, perbelanjaan kerajaan masih perlu dirancang dan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti dan ketelusan, dengan tekad untuk mencegah segala bentuk ketirisan.-SM

(Visited 228 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button