Nasional

Sukar dilupakan tragedi ngeri di Bertam Malim

Tragedi enam tahun lalu apabila ibu, bapa dan adik lelaki bongsu dikelar anak angkat dalam kejadian pembunuhan ngeri di sebuah rumah di Jalan Sidang Said, Bertam Malim terus terpahat sebagai peritiwa paling sukar dilupakan sampai akhir hayat.

Dalam kejadian tersebut, arwah bapa, Hassan A. Wahab, ibunya, Mariah Baharin dan adik bongsu, Muhammad Taufeq Hassan maut dikelar dan ditetak seorang penggangur Luqman Hadi Mustafa dalam kejadian berlaku antara 5.50 pagi hingga 6.15 pagi pada 25 Ogos 2016.

Buat dua anak perempuan arwah yang terselamat iaitu Noorhaslinda Hassan, 32, dan adiknya, Nur Aqedah Aeina Hasan, 30, tidak mudah melupakan kejadian paling ngeri berlaku dalam hidup mereka apabila dalam sekelip mata kehilangan ibu, bapa dan adiknya enam tahun lalu.

Noorhaslinda berkata, dia tidak habis fikir bagaimana anak angkat itu sanggup bertindak di luar batas manusia hingga sanggup membunuh tiga ahli keluarganya.

“Mujurlah saya dan Nur Aqedah terselamat walaupun mengalami kecederaan parah dari bahagian bahu hingga ke kepala. Sebenarnya, kami sendiri tidak percaya masih hidup hingga hari ini.


“Sukar untuk kami lupakan kejadian subuh yang benar-benar sangat mengejutkan. Pedih rasanya kehilangan tiga orang yang kami sayang dalam sekelip mata.

“Setiap kali pulang bercuti di Melaka saya tidak boleh lihat rumah kami di Bertam Malim yang ditinggalkan kosong sejak kejadian 25 Ogos 2016,” ujarnya ketika ditemui di rumah arwah datuknya di Bertam Perdana, di sini semalam.

Katanya, mereka berdua mendapat rawatan selama dua minggu di Hospital Melaka dan sejurus keluar mereka terus berpindah ke rumah makciknya di Hulu Klang hingga pulih sepenuh daripada kecederaan yang dialaminya.

Noorhaslinda yang kini bekerja di Kuala Lumpur berkata, mereka berdua mengalami luka teruk akibat ditetak oleh Luqman selepas dia lebih awal membunuh ayahnya dan adik bongsunya yang ketika kejadian tidur di ruang tamu.

Mengimbas detik-detik cemas itu, dia yang sudah berkahwin dan dikurniakan dua cahaya mata berusia dua dan empat tahun berkata, kira-kira pukul 6.00 pagi dia terjaga apabila terdengar jeritan di ruang tamu.

“Ketika kejadian saya tidur dalam bilik bersama Nur Aqedah, arwah ibu yang terlantar akibat lumpuh dan nenek, Siti Khatijah Mohamad.

“Sewaktu bangun cuba membuka pintu bilik, saya terus diserang Luqman dengan parang di bahagian telinga kiri hingga putus sebelum menolak saya hingga terbaring dilantai dalam keadaan berlumuran darah.

“Selepas itu dia menetak adik di belakang kepala hingga berdarah, menetak tangan kanan hingga hampir putus, telinga kanan, kecederaan di hidung dan gigi patah ketika dia cuba melawan,” ujarnya.

Jelasnya, selepas menyerang mereka, anak angkat itu terus mengelar ibunya hingga maut manakala nenek mereka tidak diapa-apakan.

Dia mengagahkan dirinya dalam kecederaan parah keluar dari bilik dan terus membuka pintu sambil menjerit meminta tolong. Jeritannya itu didengari beberapa jemaah yang baharu selesai menunaikan solat subuh di surau di hadapan rumahnya. – SM

(Visited 36 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button