Nasional

Kelicikan premis berlindung disebalik aktiviti perjudian tumpas

MELAKA, 24 Februari – Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga!

Itulah perumpamaan tepat bagi menggambarkan kelicikan pemilik premis di negeri ini cuba mengaburi pihak berkuasa apabila mereka menjalankan kegiatan judi dalam talian.

Ada premis berselindung menjual barangan runcit, ada pula menjual makanan ringan, keropok dan sebagainya tetapi sebenarnya mereka menjalankan kegiatan perjudian.

Selicik-licik mereka namun 23 pemilik premis telah dikenakan tindakan pemotongan elektrik dalam operasi bersepadu polis bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, operasi bersepadu itu dijalankan di Melaka Tengah melibatkan 10 premis, Alor Gajah (8) dan Jasin (5).

“Premis ini juga dikesan pernah diserbu pihak berkuasa beberapa kali sebelum ini tetapi mereka tidak pernah serik malah terus menjalankan aktiviti perjudian.

“Kita ambil tindakan memotong bekalan elektrik di premis yang dikesan menjalankan aktiviti tersebut. Ia dibuat mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi terbuka 1953 (Pindaan 2001),” ujarnya dalam sidang akhbar selepas menyertai operasi tersebut bersama TNB di Tanjung Minyak di sini hari ini.

Seramai 21 anggota dan pegawai polis serta 15 kakitangan TNB dari Melaka Tengah turut serta dalam operasi berkenaan.

Meng Seah berkata, sejak operasi membanteras aktiviti perjudian dijalankan sejak Disember tahun lalu hingga kini, seramai 53 individu ditahan dalam 23 serbuan yang dijalankan di sekitar daerah di negeri ini.

Menurutnya, mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 64 tahun dan kesemua suspek telah disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi terbuka 1953. – SM

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button