Ekonomi

CBP buka cawangan ke-31 di Miri

CO-OPBANK Pertama (CBP) hari ini secara rasminya telah membuka cawangan yang ke-31 di Miri, Sarawak dan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Tuan Rusli Bin Jaafar dalam satu majlis yang diadakan di cawangan tersebut.

Turut hadir ke majlis berkenaan adalah Pengerusi CBP, Datuk Baharom bin Embi; Timbalan Pengerusi CBP, Puan Hajjah Nor Hidayah Omar serta Anggota Lembaga CBP; Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Encik Khairil Anuar Mohammad Anuar, Pengurusan Kanan CBP, wakil-wakil agensi kerajaan dan koperasi serta rakan strategik yang lain.

Datuk Baharom berkata, pembukaan cawangan ini adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat selain seiring dengan perancangan strategik CBP untuk mengembangkan lagi perniagaan.

“Ini merupakan cawangan CBP yang kedua di negeri Sarawak selepas Kuching, dan yang ketiga adalah Cawangan Matang Jaya yang akan dibuka pada suku pertama tahun 2024 sejajar dengan strategi CBP untuk membawa produk dan perbankan terus kepada penduduk di Bumi Kenyalang ini,” katanya ketika berucap di majlis perasmian berkenaan.

Datuk Baharom turut berkata selain Sarawak, CBP juga turut mengembangkan perniagaan dengan membuka cawangan di Sandakan dan Papar, Sabah serta Jerteh, Terengganu pada suku pertama tahun 2024.

Tambah Datuk Baharom lagi, CBP kini dalam perancangan untuk mempunyai sekurang-kurangnya 36 buah cawangan di seluruh negara menjelang tahun 2026 seperti yang dirancang di dalam Pelan Strategik CBP 2022-2026 yang telah dilancarkan pada 31 Mei 2022 dengan memperkenalkan beberapa produk dan model perniagaan baharu bagi memenuhi keperluan anggota serta pelanggan CBP.

CBP berharap dengan pertambahan cawangan di Sabah dan Sarawak, penduduk setempat dapat memberi sokongan sepenuhnya kepada produk dan perkhidmatan yang ditawarkan selain anggota dan pelanggan sedia ada dapat menjalankan urusan dengan mudah. – SM

Artikel berkaitan > CBP lancar COSTART sempena Program MASKOP 2023

 

(Visited 111 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button