BeritaNasional

Suhu sejuk berlarutan hingga Februari

SUHU sejuk melanda negara termasuk di Lembah Klang yang menurun sehingga 22 darjah Celsius pada waktu malam dan awal pagi dijangka berlarutan sehingga Februari tahun depan.

Fenomena itu berlaku berikutan angin monsun yang terbentuk di rantau Siberia-Mongolia membawa cuaca sejuk dari utara China merentasi Laut China Selatan sebelum memasuki Semenanjung Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon, keadaan itu akan menyebabkan beberapa kawasan mengalami hujan berterusan dan berkabus.

“Langit mendung dan hujan berterusan adalah biasa dalam tempoh ini di kawasan Semenanjung Malaysia. Ia menyebabkan suhu menurun dan menghasilkan kelembapan yang lebih tinggi dan berlaku pembentukan kabus, ” katanya.

Hujan lebat berterusan selama beberapa hari boleh mengakibatkan banjir di kawasan rendah.

Dalam pada itu katanya, kawasan berisiko banjir mungkin menjadi lebih buruk jika hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang.

Laman rasmi MetMalaysia pula melaporkan, hujan lebat dijangka berterusan di Kelantan (Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai), Terengganu (Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman) serta Pahang (Jerantut dan Kuantan) hingga esok.

Penduduk di Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Gua Musang (Kelantan); Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang (Terengganu) serta Lipis, Maran, Pekan dan Rompin (Pahang) pula diminta sentiasa berwaspada dengan amaran cuaca.

Pembentukan awan aktif yang membawa hujan lebat masih lagi boleh berlaku di selatan Thailand yang berkemungkinan menyebabkan kenaikan paras air di Sungai Golok di Kelantan.

Penduduk di negeri-negeri terlibat khususnya di Kelantan dinasihatkan peka dengan keadaan cuaca dan amaran yang dikeluarkan pihak berwajib.

(Visited 216 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button