Rencah Hidup

Tan Sri Sabbaruddin Chik realisasi peluasan jangkauan perkhidmatan perbankan Bank Rakyat

ALLAHYARHAM Tan Sri Sabbaruddin Chik sentiasa dikenang sebagai bekas Pengerusi Bank Rakyat yang proaktif. Sejak mula dilantik sebagai Pengerusi Bank Rakyat pada 9 April 2012, beliau berperanan besar dalam melebarkan sayap jaringan perbankan Bank agar dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Ini kerana sebagai sebuah bank koperasi Islam yang responsif, adalah perlu bagi Bank untuk melaksanakan inisiatif bagi memberikan akses kemudahan perbankan kepada masyarakat luar dan pinggir bandar.  Justeru, keperluan perbankan Bank telah diperluaskan jangkauannya menerusi percambahan pembukaan rangkaian perkhidmatan yang merangkumi cawangan, Ar-Rahnu X’Change dan Rakyat X’cess.

Selain itu, beliau kerap turun padang untuk mengadakan lawatan di cawangan dan bertemu dengan warga kerja bagi mengenal pasti keperluan mereka, sekali gus dapat mengetahui hasrat anggota dan pelanggan Bank agar Bank Rakyat kekal relevan di pasaran.

Di bawah teraju beliau, Bank turut mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa. Bank Rakyat dipilih sebagai institusi kewangan Islam yang mencatatkan keuntungan tertinggi oleh Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) pada 2013.

Antara pengiktirafan lain termasuklah berada pada kedudukan nombor satu bagi Bank dengan Pulangan atas Ekuiti Tertinggi (ROA) 2013 (Malaysia) dan nombor lima bagi Bank Paling Menguntungkan 2013 (Malaysia) oleh The Asian Banker.  Manakala, World Finance Magazine mengiktiraf Bank Rakyat sebagai Bank Islam Terbaik (Malaysia) 2013 (Anugerah Kewangan Islam).

Pada masa yang sama, The Banker menyenaraikan Bank pada kedudukan ketujuh terbesar di Malaysia dan ke-271 terbesar di dunia dalam senarai 1,000 Bank Terbesar di Dunia.

Menghargai sumbangan dan jasa Allahyarham, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, “Dasar dan idea yang dibawa Allahyarham menjadi pemacu kepada kejayaan Bank.

“Sudah tentu, jasa Allahyarham berjaya membuka jalan untuk dituai oleh pewaris seterusnya. Tanggungjawab yang disandarkan telah berjaya memastikan kesinambungan Bank Rakyat terus gemilang dan berterusan sehingga ke hari ini,” ujar Dato’ Syed Abdul Aziz.

Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik menamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi Bank Rakyat pada 8 April 2014 dengan membawa pelbagai kejayaan dan kecemerlangan. – SM

(Visited 351 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button