Nasional

Suhakam digesa bela dua lelaki Islam dipukul majikan kerana berpuasa

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia (Suhakam) digesa untuk membela nasib dua pekerja Islam yang dipukul, disebat dan dikasari oleh majikan kerana berpuasa.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam Aminuddin Yahaya berkata, kes berkenaan merupakan satu bentuk pencabulan hak asasi manusia.

“Suhakam sebagai suruhanjaya di bawah kerajaan perlu bertindak dalam isu ini. Hak asasi rakyat marhaen biasa yang ikhlas bekerja mencari rezeki seperti mereka ini mesti diambil perhatian.

“Bukannya hanya akan muncul membela hak pelacur, hak seks songsang, hak ajaran sesat dan sebagainya,” kata Aminuddin.

Polis Klang Selatan telah menahan empat individu, yang disyaki terlibat dengan kejadian berkaitan dua pekerja lelaki yang telah dipukul secara bergilir kerana berpuasa.

Dua lelaki yang merupakan pengawal peribadi itu telah dipukul dengan menggunakan sebatang rotan oleh majikannya dan seorang lagi pekerja.

Menurut Aminuddin beliau bimbang sekiranya kes berkenaan dibiarkan akan menjadikan keadaan lebih teruk.

“Mula-mula dinafikan hak beribadat, selepas itu dipukul-pukul. Apakah satu hari nanti akan ada pula yang mati kerana solat, tutup aurat dan berpuasa ketika bekerja?

“Kerajaan melalui kementerian-kementerian yang berkaitan perlu ambil perhatian serius dalam isu sebegini yang semakin menjadi-jadi.

“Rakyat terdesak mencari rezeki di kala krisis ekonomi ini, jangan biarkan sang kapitalis ambil kesempatan menindas dan bermaharajalela sebegini. Malah, ini adalah satu pencabulan hak asasi bagi seorang manusia,” katanya.

Media melaporkan, suspek turut didakwa mengacu pistol dan melakukan ugutan bunuh kepada kedua-dua mangsa itu.

Suspek didakwa telah menyoal pengadu berusia 26 tahun itu dan rakannya ketika berada di sebuah kondominium dengan berkata ”u orang puasa ke”.

Apabila mangsa dan rakannya menjawab ”ya”, suspek bertindak menampar dan mengetuk kepala mereka dengan telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian itu dikatakan berlaku di lobi One KL Condominium Complex, Jalan Pinang di sini pada jam 10 malam, Selasa lalu,

”Mengiku fakta kes, semasa pengadu (mangsa) bersama kawannya bernama (Azminizam) berada kondominium itu, majikannya bernama Chung yang merupakan suspek telah bertanyakan kepada mangsa dan rakannya adakah mereka berdua berpuasa pada hari ini.

“Setelah pengadu memberitahu berpuasa, suspek telah memarahi pengadu dan telah menampar kepalanya sebelum pengadu bersama rakan sekerjanya mengikut suspek ke rumahnya di Batu Nilam, Klang Selangor,” tambahnya.

Sebaik sahaja tiba di rumah suspek, pengadu dan rakannya telah dipukul dengan menggunakan sebatang rotan, ditumbuk dan ditendang sambil diacukan pistol ke arah pengadu.

Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami lebam di bahagian belakang badan dan telah mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.-SM

 

(Visited 836 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button