Nasional

Harga sayur kekal tinggi hingga selepas Tahun Baharu Cina

HARGA sayur-sayuran dijangka kekal tinggi sehingga selepas cuti Tahun Baharu Cina.

Menurut laporan FMT, Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt berkata, punca utama harga sayur kekal tinggi ialah berikutan kehadiran monsun timur laut.

Menurut Keng Fatt, monsun menyebabkan banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands dan kawasan penanaman sayur-sayuran lain.

Bencana itu akan menjejaskan pertumbuhan dan bekalan tanaman.

Harga kubis bunga, kacang, cili dan beberapa sayur-sayuran lain telah meningkat kira-kira 200 peratus sejak dua minggu lalu.

Keng Fatt juga mengaitkan kekurangan hasil sayuran dengan harga yang tinggi berpunca daripada kekurangan tenaga kerja.

“Pemulihan ekonomi yang perlahan menyukarkan kemasukan pekerja dari luar negara,” katanya.

Malaysia mengimport kira-kira dua pertiga daripada keperluan sayur-sayuran dan menurut presiden Persatuan Peladang Sayur Cameron Highlands Chai Kok Lim, sekatan global akibat Covid-19 telah menjejaskan bekalan.

“Harga ini banyak dipengaruhi oleh undang-undang bekalan dan permintaan.

“Sayur-sayuran seperti cili mahal kerana ia bermusim dan bergantung kepada faktor import,” katanya.

Tambahnya, kos pengangkutan juga meningkat, menyebabkan pembekal tiada pilihan selain menaikkan harga.

Isu kenaikan harga sayur-sayuran dibangkitkan baru-baru ini oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Persatuan itu menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pihak berkuasa pemasaran pertanian persekutuan untuk menyiasat kerana bimbang pembekal melanggar Akta Antipencatutan. -SM

(Visited 83 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button