Bola SepakSukan

Suarez dikhabar terima lamaran Juventus

LUIS Suarez dilaporkan telah bersetuju dengan terma peribadi bagi menyertai Juventus yang menyaksikan bekas penyerang Liverpool itu semakin hampir meninggalkan Barcelona.

Pemain berusia 33 tahun itu telah dimaklumkan khidmatnya tidak lagi diperlukan di Nou Camp dengan bos baharu, Ronald Koeman bersedia melakukan rombakan besar-besaran ke atas skuad yang berada di bawah prestasi sebenar.

Ajax dan Paris-Saint Germain dipercayai turut berminat bagi mendapatkan tandatangan Suarez yang kini memasuki tahun terakhir kontraknya bersama Barcelona.

Namun, penyerang Uruguay itu telah bersetuju dengan perjanjian yang ditawarkan Juventus dan bakal menyaksikan dia bergandingan bersama Cristiano Ronaldo di jentera serangan, menurut laporan La Gazzetta dello Sport yang dipetik oleh Marca.

Berdasarkan laporan tersebut, pertemuan kedua antara kelab gergasi Serie A itu dan wakil Suarez telahpun bersetuju dengan perjanjian sekitar 9 juta pound (RM50 juta) setahun, sama nilai kontraknya bersama Barcelona.

Difahamkan Naib Presiden Juve, Pavel Nedved telah menghubungi Suarez secara peribadi menjelang pertemuan kedua itu.

Juventus sedang mencari pengganti Gonzalo Higuain, yang dikaitkan dengan perpindahan ke Inter Miami, dan kelab itu juga dipercayai turut berminat bagi mendapatkan khidmat penyerang Roma, Edin Dzeko.

Sementara itu, Ajax berharap dapat membawa Suarez pulang ke pangkuan kelab itu dengan menggunakan dana hasil penjualan Donny van de Beek ke Manchester United yang bernilai 40 juta pound (RM222 juta).

Akhbar Sepanyol, Sport mendakwa, Pengarah Bola Sepak Ajax, Marc Overmars berharap dapat memujuk Suarez kembali ke kelab itu, setelah pemain tersebut menyertai Liverpool dengan perpindahan bernilai 24 juta pound pada 2011.

Suarez menjaringkan 69 gol dalam 110 perlawanan ketika beraksi dalam Liga Perdana Inggeris untuk Reds, sebelum meninggalkan kelab itu pada 2014 menerusi yuran perpindahan sebanyak 74 juta pound bagi menyertai Barcelona yang menyaksikan dia meledakkan 147 gol dalam 191 penampilan di La Liga. – Mirror UK – SM

(Visited 58 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button