Nasional

“Suami saya tak selamat di Dhaka”-Rieta Rahman

Penahanan bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh

SUSULAN berita bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ditahan polis Malaysia semalam. Isteri bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh hari ini merayu kepada pihak berkuasa Malaysia supaya tidak menghantar pulang suaminya ke Dhaka kerana suaminya tidak selamat untuk berada di sana.

Mohamed Khairuzzaman, 65, bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia dari tahun 2007 hingga 2009 dibawa oleh pihak berkuasa dari kediamannya di Ampang, Selangor. Dia dilaporkan dikehendaki di negara asalnya atas sebab yang tidak didedahkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penahanan bekas diplomat itu dibuat menurut prosedur perundangan.

Isteri Mohamed, Rieta Rahman, 60, memberitahu FMT bahawa penahanan suaminya bermotif politik.

“Suami saya seorang yang baik. Dia seorang duta gred A dan lelaki yang tidak bersalah tanpa rekod jenayah,” katanya menerusi panggilan telefon dari Amerika Syarikat di mana dia kini menetap bersama anaknya.

Rieta berkata, “Bangladesh tidak selamat untuk orang yang tidak bersama kerajaan sekarang. Dia tidak boleh bertahan jika dihantar pulang.”

Beliau berkata, Mohamed sebelum ini pernah ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan selama tiga tahun sembilan bulan pada 1996.

Dan Amnesty International menganggapnya sebagai tahanan politik dan tahanan hati nurani apabila dibebaskan pada 2001 semasa berlakunya pertukaran kerajaan.

Untuk rekod, penangkapan Mohamed adalah berkaitan dengan “pembunuhan penjara” pada 1975 yang mengakibatkan kematian empat ahli parti politik Liga Awami yang merupakan kerajaan semasa yang memerintah di Bangladesh dan Mohamed yang merupakan bekas pegawai tentera, adalah suspek dalam pembunuhan itu.

Selepas berkhidmat di Kementerian Luar Negeri dari 2003, Mohamed dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Malaysia pada 2007.

Dua tahun kemudian, beliau dipanggil semula selepas berlaku pertukaran kerajaan.

Rieta berkata, suaminya memutuskan untuk kekal dalam buangan di Malaysia kerana bimbang akan dianiaya jika berada di negara asalnya.

Katanya lagi, dia dan suaminya telah mendapatkan status pelarian lebih awal sebagai langkah keselamatan.

Rieta berkata, Mohamed memperbaharui visanya setiap dua tahun tanpa sebarang masalah tetapi baru-baru ini, dia dinafikan visa oleh pihak imigresen tanpa sebarang alasan.

Tambah Rieta, mereka kemudian memohon kad hijau di Amerika untuk tinggal bersama anak sulung mereka.

Katanya lagi, Mohamed berdepan dengan masalah dalam melengkapkan permohonan itu kerana  dia gagal mendapatkan pengesahan keselamatan daripada polis Malaysia seperti yang dikehendaki oleh Amerika.

Dia mempersoalkan “misteri” penahanan suaminya dengan mendakwa bahawa pegawai imigresen yang diiringi oleh “pengiring keselamatan tinggi” telah menceroboh masuk ke rumahnya di Ampang.

“Rakan-rakannya pergi mencarinya tetapi hanya diberitahu bahawa ia adalah kes sulit yang berprofil tinggi. Tiada sesiapa yang tahu apa-apa.

“Kali terakhir saya bercakap dengannya adalah pada pagi kelmarin (Rabu). Dia tidak sihat dan berasa tertekan. Memandangkan keadaan itu, dia bimbang tentang anak lelaki kami yang lain di Dhaka.

“Saya tertanya-tanya sama ada dia akan dibenarkan mengambil ubat untuk tekanan darah dan lain-lain penyakit. Saya harap seseorang boleh hentikan pengusirannya,” jelas Rieta.

Beliau berkata, seorang peguam Malaysia telah dihubungi untuk cuba menghalang suaminya daripada dihantar pulang. – SM

 

(Visited 627 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button