Travel

Dua minggu jadi penanda aras

Projek rintis gelembung pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah menjadi titik aras pembukaan sektor pelancongan negeri lain dengan pemantauan dua minggu terlebih dahulu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, gesaan mempercepat pembukaan semula pulau-pulau lain di bawah projek rintis gelembung pelancongan perlu dilihat selepas tempoh dua minggu pembukaan Pulau Langkawi.

“Kita tidak boleh terus membuka semua pusat peranginan kerana risikonya pasti ada.

‘Sekiranya projek gelembung pelancongan di Pulau Langkawi ini berjaya selepas tempoh dua minggu, tidak mustahil pusat-pusat peranginan di pulau-pulau boleh dibuka seiring dengan projek rintis gelembung pelancongan ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pelaksanaan projek rintis gelembung pelancongan domestik di Langkawi bermula 16 September lalu yang menyaksikan pulau peranginan itu menjadi tumpuan pelancong dari seluruh negara.

Terdahulu, Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman meminta kementerian itu mempercepat usaha menjadikan pulau-pulau peranginan di negeri berkenaan sebagai projek gelembung pelancongan kedua selepas Langkawi.

Katanya, langkah itu penting bagi merancakkan semula aktiviti pelancongan di Terengganu terutama di enam pulau peranginan yang hanya mempunyai masa lebih sebulan untuk ‘bernyawa’ sebelum ketibaan musim tengkujuh.

Menurut Nancy, berdasarkan maklum balas diterima berhubung projek gelembung pelancongan di Langkawi  menunjukkan keyakinan pengunjung  terhadap elemen keselamatan yang diambil semua pihak dalam menjayakan langkah awal pembukaan sektor pelancongan negara.

“Ini merupakan  indikasi positif yang memotivasikan kami untuk terus berusaha memastikan sektor pelancongan dan kebudayaan menjadi antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi di pulau ini dapat dipulihkan semula dengan kerjasama padu semua pihak,” katanya.

Sementara itu, Pahang meminta lapan destinasi popular di negeri berkenaan dibenarkan beroperasi di bawah projek gelembung pelancongan domestik kerana lokasi-lokasi terbabit telah pun bersedia untuk dibuka setelah lebih dua tahun ditutup akibat pandemik Covid-19.

Lapan destinasi itu, Pulau Tioman, Bukit Fraser, Genting Highlands, Cameron Highlands, Taman Negara Kuala Tahan, Hutan Taman Negeri, Janda Baik dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, destinasi itu sudah mencapai imuniti kelompok lebih 90 peratus.

“Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah mengarahkan Exco Pelancongan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri turun padang dan memastikan destinasi-destinasi popular berkenaan melepasi imuniti kelompok.

“Kerajaan negeri begitu yakin dan telah menguar-uarkan destinasi pelancongan seperti Pulau Tioman dan Bukit Fraser dijangka dibuka Ogos lalu tetapi kini telah masuk September,” katanya.

(Visited 77 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button