Hiburan

Konsert UK’Slam Musical 3 Februari: Satu dalam sejarah!

SUDAH tiba masanya tahun 2024 yang bakal menjelang tidak lama lagi disajikan dengan konsert yang di luar kotak kelaziman. Peminat dan pemerhatian hiburan tanah air sering disajikan dengan konsert penyanyi solo atau artis berkumpulan.

Setakat ini tidak pernah lagi dalam sejarah hiburan tanah air, dua artis berkumpulan yang malar segar dalam ingatan peminat masing-masing mengadakan sebuah konsert premium di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor yang mampu memuatkan 7,000 kapasiti penonton.

 

Dibawakan oleh satu nama yang gah dan popular kerana kemampuannya mengendalikan konsert berskala besar penyanyi-penyanyi Malaysia, produksi Bombay Legend Worldwide bersama AMIRUKS Entertainment bergabung dengan sokongan Johan Enterprise, Mewah Event Management, Mr Helibro dan JBR Bundle sebagai rakan strategik membawakan dua artis berkumpulan yang popular pada tahun 1990-an, UK’s dan Slam mengadakan Konsert UK’Slam Musical tahun depan.

Pada majlis sidang media yang diadakan semalam yang turut dihadiri oleh anggota kumpulan UK’s dan Slam termasuk vokalis masing-masing, Amir dan Zamani, pengamal media dimaklumkan konsert itu bakal berdurasi selama tiga jam dengan persembahan 30 buah lagu daripada kedua-dua kumpulan.

Bombay atau nama sebenarnya, Zamberi Shaari yang juga bertindak sebagai Produser konsert mengakui, bukan mudah untuk meletakkan dua artis berkumpulan popular dalam satu acara konsert.

Oleh itu, beliau berkata, Konsert UK’Slam Musical ini julung kali diadakan dan para peminat kedua-dua artis berkumpulan ini harus datang menonton konsert tersebut nanti.

Ini kerana, katanya, jika ada yang ‘miss’, tidak akan ada lagi ulangan Konsert UK’Slam Musical.

“Kita bukan sahaja mahu menguar-uarkan tentang Konsert UK’Slam Musical ini tetapi kita mahu para peminat memberi sokongan penuh terhadap penganjuran konsert ini.

“Ia bercorak muzikal dan sudah tentu, visual yang dipaparkan akan menggunakan LED. Jadi, penonton akan mendengar lagu-lagu popular UK’s dan Slam yang didendangkan di atas satu pentas kerana kedua-dua kumpulan ini, berkongsi pentas dalam erti kata sebenar,” katanya.

Bayangkan, sebelah kiri adalah kumpulan UK’s dan sebelah kanan, Slam di atas satu pentas, Amir menyampaikan lagu-lagu popular UK’s manakala Zamani pula, akan mendendangkan lagu-lagu berhantu Slam.

Kemudian, mereka akan berduet menyampaikan lagu daripada UK’s dan Slam. Semestinya paduan suara Amir dan Zamani yang telah melepasi usia setengah abad, dinanti-nantikan oleh bukan sahaja peminat mereka tetapi juga pengamal media dan pemerhati hiburan.

Peminat yang mahu membeli tiket, layari ilasotickets dan semua yang menyaksikan Konsert UK’Slam Musical pada 3 Februari 2024 adalah ‘berkonsepkan seatad’ maknanya tidak yang berdiri.

Tiket-tiket adalah seperti berikut GOLD-RM588 (numbered seating), SILVER-RM308 (numbered seating), BRONZE-RM248 (numbered seating) dan YELLOW-RM408 (numbered seating).

Tidak perlu rasa terbeban dengan harga tiket di atas kerana ada juga harga tiket untuk golongan marhaen.

RED-RM248 (free seating), BLUE-RM188 (free seating), GREEN-RM108 (free seating), ORANGE-RM208 (free seating), PURPLE-RM148 (free seating).

Sementara itu, pada majlis sidang media yang sama, vokalis UK’s, Amir berkata, konsert yang bakal diadakan itu merupakan sesuatu yang baharu dan ia merupakan satu acara yang nostalgia.

Kata Amir lagi, ia juga umpama satu dimensi yang menuju ke arah sebuah konsert.

Shah dari kumpulan Slam pula berkata, Konsert UK’Slam Musical adalah satu pesta untuk meraikan lagu-lagu tahun 1990-an.

Zamani selaku vokalis Slam berpendapat, konsert yang akan diadakan mempunyai perbezaan dan kelainan daripada norma biasa Konsert Slam.

“Selalunya Slam mengadakan konsert secara solo tetapi kali ini, buat pertama kalinya, Slam bergabung dengan UK’s,” katanya. – SM

BACA Zamani Slam selamat jalani pembedahan tulang belakang

(Visited 134 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button