Sukan

Struktur semula TVET elak pertindihan dan pembaziran

MENTERI Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh meminta Kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia (KSM) menstruktur semula program Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sedia ada bagi mengelakkan pertindihan dan pembaziran dalam pelaksanaannya.

Yeoh berkata, program TVET yang kini dilaksana pelbagai kementerian perlu dikendalikan oleh satu kementerian sahaja.

“TVET ini dilaksana pelbagai kementerian yang mempunyai program masing-masing sehingga menimbulkan kekeliruan buat pemain industri selepas mereka tamat latihan dari sudut penggajian dan sebagainya.

“Tidak perlu semua kementerian buat program TVET masing-masing kerana ia akan nampak tidak terurus selain tidak fokus serta akan ada pembaziran berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara Sidang Kedua (MBPN) di Pusat Belia Antarabangsa.A


Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menterinya Adam Adli Abdul Halim dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Beliau berkata, sebagai contoh, jika satu kementerian memperuntukkan RM50 juta bagi tujuan menaik taraf program TVET namun pengambilan pelajar itu tidak mencapai tahap maksimum lalu ia akan menjurus kepada pembaziran dari segi tenaga kerja pada masa akan datang.

Katanya, KBS pada masa sama sedia bekerjasama membantu Kementerian Sumber Manusia bagi tujuan penstrukturan semula itu dan berpendapat program dilaksanakan dalam TVET juga perlu kekal relevan dengan permintaan golongan belia masa kini.

“Ada banyak program mungkin popular masa zaman saya bersekolah tapi sekarang dengan adanya ekonomi gig ramai belia mementingkan soal waktu kerja fleksibel.

“Pandangan mereka kini juga sudah berbeza terhadap TVET, kalau kita masih buat program tidak menarik perhatian sudah tentu tidak dapat penyertaan menyeluruh golongan belia,” ujarnya. – SM

(Visited 48 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button