Auto TravelBerita Auto

Struktur baharu cukai jalan EV dirangka

MENTERI Pengangkutan (MOT), Loke Siew Fook berkata, kementeriannya sedang meneliti dan merangka struktur baharu cukai jalan bagi kenderaan elektrik (EV).

Beliau berkata, pengumuman mengenai struktur baharu itu dijangka diumumkan hujung tahun ini selain diberikan perhatian utama dalam intipati Belanjawan 2024 bagi kementerian itu.

Loke Siew Fook

Katanya lagi, penstrukturan baharu cukai jalan kenderaan berkenaan penting kerana kerajaan terdahulu hanya memberikan pengecualian cukai jalan EV sehingga tempoh 2025.

“Rata-rata pengguna bimbang dengan struktur cukai jalan bagi EV kerana kalau kita ikut formula lama (cukai jalan EV) impak kosnya tinggi dan boleh mencecah RM4,000 hingga RM5,000 setahun.

“Saya sudah mengarahkan pegawai-pegawai di MOT meneliti hal ini hasil maklum balas syarikat penyedia EVs dan pengguna.

“ Ini juga usaha kita untuk menggalakkan peralihan kepada penggunaan kenderaan itu,” katanya seperti laporan FMT selepas menghadiri Forum Mobiliti Hijau dan Pengangkutan, hari ini.

Beliau berkata, dasar mengenai penggunaan EV perlu jelas agar usaha kepada pertukaran mod pengangkutan yang lebih mampan dapat dilakukan.

Tambah beliau, usaha itu selaras dengan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon yang menyasarkan negara mencapai 15% penggunaan EV dan kenderaan hibrid pada tahun ini dengan penyediaan 10,000 unit fasiliti pengecasan menjelang 2025.

Selain itu, beliau berkata, MOT bukan sahaja melihat kepada penerapan konsep mobiliti mampan bagi kenderaan darat, bahkan bagi pengangkutan udara dan maritim.

“Konsep penggunaan bahan bakar yang mampan juga telah mula menjadi pilihan dalam bidang penerbangan dan ini juga perkara menjadi perhatian MOT lebih-lebih lagi pada LIMA 2023 (Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023) ini,” katanya.

Sementara itu, dalam ucaptamanya semasa forum berkenaan, Loke berkata Malaysia akan terus menjalin kerjasama dengan Sweden untuk membolehkan kedua-dua negara belajar dan bekerjasama dalam inisiatif menggalakkan mod pengangkutan mampan.

“Kami boleh memanfaatkan amalan terbaik dan kepakaran Sweden dalam penggunaan EV, infrastruktur pengecasan dan sistem trafik pintar, antara lain untuk mempercepatkan peralihan kepada e-mobiliti di Malaysia.

“Saya percaya kerjasama adalah kunci untuk menyelesaikan cabaran ini dan saya gembira melihat kedua-dua negara memperkukuh hubungan kita dalam sektor pengangkutan, khususnya dalam peralihan hijau, sebagai tambahan kepada perkongsian sebelum ini dalam keselamatan jalan raya,” katanya. – SM

(Visited 171 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button