Nasional

Stor barang kes IPD Sentul meletup akibat proses pelupusan mercun

LETUPAN sebuah stor barang kes milik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul dipercayai berpunca daripada geseran ketika jentolak menggelek mercun yang juga barang kes.

Kemungkinan berlakunya sedikit pergeseran dengan tanah atau pasir ketika jentolak menggelek barang kes itu, kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

“Apabila ia (barang kes) dikumpulkan di dalam tong roro, haba mungkin membakar secara perlahan.

“Apa pun, Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur masih menyiasat punca sebenar letupan itu,” katanya ketika sidang media di IPD Sentul, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 6.42 petang mengenai kejadian membabitkan stor barang kes yang terletak kira-kira dua kilometer dari IPD sentul itu.

Pihaknya bersama dengan JBPM Kuala Lumpur serta agensi penyelamat yang lain terus ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran.

“Api berjaya dipadamkan dan dikawal sepenuhnya jam 7.04 petang,” katanya.

Kesan dari letupan itu, 18 kereta dan dua lori yang juga barang kes turut terbakar.

Dalam pada itu, pihaknya juga menerima tujuh laporan polis berkaitan kerosakan pada rumah penduduk di kawasan sekitar.

“Ada rumah mengalami kerosakan pada cermin tingkap dan ada yang bumbungnya pecah, namun tidak menyebabkan kecederaan kepada penghuni.

“Kejadian juga menyebabkan tiga pekerja am yang membantu pembersihan proses pelupusan cedera ringan dan masing-masing menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Eng Lai turut mengesahkan lima pegawai polis bertugas di stor terbabit dan dua pekerja am lain tidak mengalami kecederaan, manakala jumlah kerugian sebenar dialami masih belum ditafsirkan. – BERITA HARIAN – SM

(Visited 575 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button