Nasional

Lelaki rempuh pagar semata-mata mahu elak ditahan polis

SEORANG lelaki berusia 39 tahun yang enggan memberi kerjasama kepada pihak polis dengan melarikan diri sehingga berlaku kejar mengejar akhirnya ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, pada awalnya, pihaknya telah menerima laporan berkenaan seorang lelaki yang dilihat tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta di Jalan Kolam Air Lama, Ampang Jaya.

“Kira-kira pukul 10.18 pagi semalam, kita telah membuat pemeriksaan terhadap kereta tersebut dan berjaya mengejutkan suspek dengan mengetuk pintu keretanya.

“Bagaimanapun, suspek enggan membuka pintu dan tidak memberi kerjasama dan terus memecut laju keluar dari stesen minyak dan telah berlaku kejar mengejar.

“Suspek juga telah melanggar sebuah kereta lain ketika berada berhampiran Ampang Point,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, lelaki itu dikejar sehingga ke kawasan Kampung Baru dan telh masuk ke kawasan menjual kereta terpakai di Jalan Raja Muda Abdul Aziz.

Jelasnya, orang awam yang berada di situ juga telah bertindak menutup pagar bagi mengelak suspek melarikan diri.

“Kita juga telah memecahkan cermin kereta suspek untuk membuat tangkapan sehingga mengakibatkan seorang anggota mengalami kecederaan.

“Susupek bagaimanapun nekad melarikan diri dengan merempuh pagar premis tersebut,” katanya.

Ujarnya, suspek berjaya ditahan ketika berada di Bengkel Dewan PKNS, Kampung Melayu Tambahan kira-kira pukul 11.55 pagi hari sama.

Jelasnya, suspek disyaki terlibat dengan kes curi motosikal bersabit laporan Dang Wangi dan siasatan mendapati dia mempunyai sembilan rekod jenayah dan empat rekod narkotik.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas. -SM

(Visited 225 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button