Politik

Perubahan di Sabah pengkhianatan kepada mandat rakyat

URA-URA Tan Sri Musa Aman bakal membentuk kerajaan baharu Sabah menggantikan Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merupakan satu pengkhianatan kepada mandat rakyat.

Bagaimanapun ia tidak memberi kesan kepada  Pakatan Harapan (PH) kerana rakyat lebih memahami itu bukan aspirasi mereka.

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat tahu apa yang berlaku bukannya pendirian mereka tetapi lebih kepada satu pengkhianatan seperti yang dilakukan  Perikatan Nasional (PN).

“Ini soal sepak terajang politik dalam kalangan Ahli Parlimen dan pimpinan, tidak semestinya mewakili aspirasi rakyat.

”Kadang-kadang orang salah telahan bahawa percaturan politik golongan kelompok atasan itu mewakili aspirasi rakyat (walhal) itu tidak semestinya,” katanya ketika ditemui selepas program Jelajah Presiden di Melaka malam tadi.

Musa mendakwa mempunyai jumlah wakil rakyat yang cukup untuk membentuk sebuah kerajaan baharu di negeri itu.

Dalam sidang media tergempar yang dibuat di rumahnya patang semalam, Musa berkata, pihaknya akan membentuk gabungan baharu yang  menyokong PN.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, beliau telah membentuk gabungan baharu membabitkan ahli dewan undangan negeri (ADUN) dari pelbagai parti.

Malah kata Musa, Menteri Keselamatan dalam Negeri,  Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Nardin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri telah membuat kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri.

Ia untuk memaklumkan gabungan baru yang menyokong Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperolehi sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru.

Anwar berkata, PH dan PKR mengikuti secara dekat tentang perkembangan tersebut dan menyatakan pendirian masih menyokong kerajaan negeri sedia ada yang dipimpin Shafie.

Beliau turut memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap wakil rakyat PKR termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik dalam gerakan tersebut.

“Ada dari Keadilan (PKR) dan pelbagai parti. Kalau sah esok, kita akan ambil tindakan (terhadap wakil PKR) kerana kita tak izinkan,” katanya. – SM

(Visited 91 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button