Berita

Starbucks sumbang RM5,000 kepada YTSP

Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn.Bhd. menyumbangkan RM5,000 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis khusus untuk turut sama menjayakan ‘Projek DiRaja Kg Warna-Warni Program Transformasi Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis’ yang diinisiatifkan oleh yayasan berkenaan bersama-sama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

RM2,000 lagi disumbangkannya kepada pihak MAIPs sempena program ‘Kayuhan Amal Starbucks di Perlis’ yang disekalikan dengan aktiviti ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ yang diketuai oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di sekitar Kuala Perlis, Padang Besar Selatan dan Kurong Tegar.

Pengarah Urusan Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn.Bhd. Dato’ Sydney Lawrance Quays mempersembahkan mock cek kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis dan juga Yang DiPertua MAIPs sempena program tersebut.

Ia diadakan sempena Majlis Perasmian Pembukaan Cawangan Starbucks Pandu Lalu, Kangar Jaya yang merupakan cawangannya yang pertama di Perlis baru-baru ini dan disempurnakan oleh Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pada rabu petang.

Turut serta ialah kepimpinan Starbucks Malaysia iaitu Steven Anthony Soosay, Erica Soh dan Zakiah Hanim Md Zaki.

Dalam ucapan beliau diakhir program Dato’ Sydney berasa teruja berpeluang menyertai aktiviti yang menyentuh kalbu melihat sendiri cara Tuanku Raja Muda diiringi ketua-ketua jabatan menyantuni dan berinteraksi dengan golongan memerlukan di negeri ini. Juga betapa bertuahnya rakyat Perlis dianugerahkan Raja Pemerintah iaitu Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid serta Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang amat mesra rakyat dan sentiasa memikirkan kesejahteraan hidup rakyat jelata baginda. Pihak Starbucks Malaysia komited untuk bersama-sama baginda lagi dalam inisiatif-inisiatif amal lain di masa hadapan.

Pada petang yang sama Tuanku Raja Muda berkenan merasmikan projek peningkatan sosio ekonomi asnaf MAIPs berupa perniagaan karipap mini yang diusahakan oleh Sabri Ibrahim dan isteri di No 29 Kg Tok Kaya Kuala Perlis yang telah menerima sumbangan peralatan untuk bengkel makanan bernilai RM2,350 daripada MAIPs menerusi Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) sebelum ini.

Baginda turut singgah menyampaikan agihan zakat MAIPs dan sumbangan prihatin daripada pihak Starbucks kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih terdiri daripada Ibrahim Ahmad, Madelan Ibrahim dan Ahmad Omar di rumah masing-masing.

(Visited 328 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button