Ekonomi

Starbucks buka kedai kopi pertamanya di Perlis

Starbucks Malaysia membuka kedai kopi pertamanya di Perlis yang sekali gus melengkapkan operasi syarikat itu di semua negeri dan wilayah persekutuan di Malaysia.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan merasmikan pembukaan rasmi kedai kopi Starbucks itu di Kangar Jaya, Perlis.

Turut hadir pada majlis itu adalah kedua-dua puteri baginda Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Pengarah Urusan Starbucks Malaysia dan Brunei Sydney Quays berkata kedai kopi baharu itu merupakan kedai pandu lalu ke-62 syarikat tersebut daripada 345 cawangannya di negara ini.

“Pada mulanya jadual pembukaan adalah lebih awal lagi tetapi disebabkan pandemik kami menangguhkannya,” kata Quays.


Beliau berkata Perlis merupakan negeri terakhir Starbucks membuka cawangannya dan alasan utama adalah untuk mencari lokasi yang sesuai.

“Kami gembira dapat membawakan keunikan kedai kopi Starbucks di Perlis,” katanya.

Quays berkata pembukaan cawangan di negeri ini merupakan satu pencapaian utama bagi syarikat tersebut yang menyediakan peluang kepada penduduk untuk merasai pengalaman minum kopi luar biasa yang digemari oleh ramai rakyat Malaysia.

Menurutnya, cawangan di Perlis ini direka bentuk bagi mencerminkan warisan lebih 50 tahun jenama kopi tersebut selain menerapkan tradisi dan budaya tempatan.

— BERNAMA

GALERI FOTO

(Visited 193 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button