Nasional

SST Sarawak: Petronas dalam proses tarik balik rayuan – Abang Johari

PETROLIAM Nasional Berhad (Petronas) kini dalam proses menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada Mac lepas yang menolak permohonannya untuk mengisytiharkan Cukai Jualan Negeri (SST) yang dikenakan oleh kerajaan Negeri Sarawak sebagai batal dan tidak sah.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, rayuan oleh syarikat minyak itu difailkan sebelum kerajaan Persekutuan baharu membuat sebarang keputusan mengenainya.

“Apabila menarik balik (rayuan di Mahkamah Rayuan), terdapat prosedur (yang memerlukan pihak yang terlibat hadir) di mahkamah (untuk membuat permohonan penarikan balik),” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Abang Johari yang juga presiden PBB berkata, isu Petronas merupakan antara perkara yang dibincangkan pada mesyuarat tiga jam berkenaan.

“Kita mempunyai jawatankuasa kerja yang mempunyai kuasa eksekutif untuk berunding dengan Petronas dan Kerajaan Persekutuan di bawah (Timbalan Ketua Menteri III Datuk Amar Awang Tengah sebagai pengerusi jawatankuasa) dan juga jawatankuasa lain di bawah penggubal undang-undang kita, Jawatankuasa Perundingan yang akan meneliti implikasi undang-undang dan perundangan kita yang mengawal industri minyak dan gas kita,” katanya.

Abang Johari berkata selain isu SST Petronas, Kerajaan Persekutuan sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri juga telah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk berunding mengenai aspek lain penglibatan Sarawak dalam industri petroleum dan gas negara.

Katanya, sebagai parti utama Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga terdiri daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), PBB akan meneruskan agendanya untuk memastikan hak-hak negeri terus dilindungi di samping bekerjasama dengan Perikatan Nasional dalam membentuk Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata lagi, dalam mesyuarat hari ini, beliau juga meminta semua ahli Dewan Undangan Negeri dari parti itu supaya kekal rapat dengan akar umbi dengan menawarkan khidmat mereka pada waktu yang tinggal ini sebelum pilihan raya negeri diadakan.

Menurut Abang Johari, walaupun masih ada satu tahun lagi sebelum tempoh DUN berakhir, ahli DUN tidak seharusnya terkejut sekiranya ia dibubarkan dalam tempoh tersebut.

“Walaupun kita juga ingin mendapatkan mandat baharu untuk kepimpinan kita, kita menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memutuskan cara terbaik untuk menjalankan pilihan raya (di tengah-tengah masalah COVID-19),” tambahnya. – BERNAMA

(Visited 235 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button