Agama

SSM sumbang zakat kepada masjid di Perlis

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melalui Pejabat Cawangannya di Perlis menyumbangkan zakat berjumlah RM5,000 kepada Masjid Al-Mursyid Guring, Pauh bagi meringankan beban asnaf dalam kalangan anak-anak kariah masjid berkenaan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan berangkat menyaksikan acara penyempurnaan penyerahan mock cek oleh Pengurus SSM Cawangan Perlis, Ahmad Nizam Samsoo kepada Pengerusi Ahli Jawatankuasa masjid berkenaan, Ustaz Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail pada petang semalam.

Turut hadir mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Ahmad Nizam, ‘Setiap tahun SSM tidak ketinggalan menyambut ulang tahun penubuhannya pada tanggal 16 April dan ianya telah di jadikan sebagai salah satu acara tahunan SSM bagi memperingati sejarah perjalanannya dalam melakar pelbagai pencapaian yang membanggakan. Tahun 2022 ini SSM telah melangkah dua dekad lamanya. Oleh itu, pelbagai pengisian aktiviti telah dirancang melibatkan peringkat ibu pejabat, pejabat negeri dan juga cawangannya di seluruh negara. Tidak terkecuali aktiviti di bawah agihan wakalah zakat dan peruntukan CSR SSM’.

Beliau berharap semoga sumbangan zakat yang diberikan dapat mengimarahkan lagi aktiviti-aktiviti di masjid berkenaan. Pada masa yang sama menjadi harapan olehnya supaya program-program berbentuk agihan zakat ini dapat membantu menyantuni golongan asnaf dan memberi nilai tambah kepada SSM sebagai sebuah organisasi yang cakna dan prihatin terhadap nasib rakyat yang mengalami kesempitan hidup dan susah.

Tambah Ahmad Nizam lagi, SSM Cawangan Perlis turut memperuntukkan agihan zakat berjumlah RM15,000 kepada golongan asnaf fakir miskin terpilih yang telah dikenalpasti melalui kerjasama dengan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

(Visited 323 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button