Nasional

Jentera ResQ team UPSI bersiap siaga bantu mangsa banjir

ResQ Team Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima lima buah kenderaan berupa kenderaan pacuan empat roda (4×4) untuk menggerakkan program kesukarelawan ResQ Team UPSI membantu mangsa banjir.
Pertambahan jentera ini adalah atas usaha barisan pengurusan tertinggi UPSI, Bahagian Pengangkutan dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI bagi menjayakan misi dan kesiagaan ResQ Team menjalankan tugas-tugas kesukarelawanan di kawasan bencana alam khususnya lokasi banjir.

Md Amin (dua dari kiri), Azlan (kiri) dan Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman (kanan) bersama anggota ResQ Team UPSI di hadapan kenderaan pacuan empat roda yang bakal digunakan untuk membantu mangsa banjir.

Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata usaha murni ini dapat membantu mengurangkan kekangan yang dihadapi oleh ResQ Team khususnya dari aspek mobiliti dalam melaksanakan misi bantuan mangsa yang ditimpa bencana.

Majlis penyerahan kunci aset kenderaan baharu itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff bertempat di Kolej Za’ba, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Md Amin berkata dengan adanya jentera yang baharu untuk memperkukuhkan ResQ Team, ia diyakini dapat menyuntik sukarelawan ResQ Team UPSI untuk beroperasi dengan lebih efektif dalam menjalankan misi-misi menyelamat dan pasca banjir.

Selain daripada aset kenderaan, katanya, ResQ Team UPSI juga mempunyai aset dan kelengkapan menyelamat seperti sembilan unit Water Jet, dua unit Water Pump, lapan unit tong air, enam unit Wheel Barrow, satu unit Water Tank 500 Gallon, Generator Comboss, Air Compressor dan pelbagai peralatan pembersihan sebagai kesiapsiagaan bagi misi-misi pada masa akan datang.

Antara jentera yang baru dibeli untuk kegunaan ResQ Team UPSI.

Beliau berkata perolehan aset jentera ini menambahkan kekuatan aset sedia ada sekaligus bagi memperkasa keupayaan dan mempertingkatkan keberkesanan pengoperasian ResQ Team UPSI jika berlaku bencana.

Menurut Md Amin usaha ini adalah signifikan dengan usaha universiti untuk mempersiap-siagaan ResQ Team UPSI dalam membantu mangsa bencana dan terus menjamin kesejahteraan masyarakat yang ditimpa bencana.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr. Norkhalid Salimin berkata, perolehan aset kenderaan ini adalah bertepatan dengan keperluan semasa ResQ Team UPSI.

“Saya berharap ResQ Team UPSI terus bersemangat dan tidak berasa penat atau lelah dalam melaksanakan misi bantuan demi keprihatinan warga universiti terhadap masyarakat yang ditimpa bencana, “ katanya.

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button