fbpx
Nasional

SPRM tidak serbu ibu pejabat Prasarana

KEHADIRAN pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke ibu pejabat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) hari ini hanyalah untuk mendapatkan beberapa maklumat yang dibangkitkan dalam media.

Timbalan Ketua Komunikasi dan Pegawai Pemasarannya, Rafizah Amran menafikan kehadiran pengawai SPRM itu satu bentuk serbuan ke atas syarikat tersebut.

Rafizah berkata, SPRM tidak merampas sebarang telefon bimbit atau komputer riba ketika hadir.

“Tiada sesiapa yang ditahan, tidak ada komputer riba, telefon pintar dan sebagainya yang disita.

“Cuma ada beberapa dokumen yang mereka perlukan kerana perlu menelitinya berhubung siasatan yang dilakukan,” katanya dalam sidang media hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.


Difahamkan pegawai dan anggota SPRM ke hadir ke pejabat Prasarana di Bangsar di ibu negara kira-kira jam 9 pagi tadi.

Rafizah berkata, Prasarana memberikan kerjasama penuh kepada pegawai SPRM terbabit.

“Saya antara individu yang bercakap dengan pegawai SPRM pagi tadi dan SPRM memaklumkan ini bukan serbuan sebaliknya ‘fact finding’ (pencarian fakta) terhadap laporan negatif yang dilaporkan media kebelakangan ini.

“Kita berbesar hati dan akan membantu mereka dalam siasatan. Kita akan beri kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan SPRM menyerbu ibu pejabat Prasarana bagi menyiasat dakwaan berhubung salah guna kuasa membabitkan pengerusinya.

Portal itu mendakwa  Tajuddin menggunakan kuasanya untuk mengubah beberapa perkara dalam syarikat itu yang menimbulkan persoalan mengenai kepimpinan dan hala tuju syarikat berkenaan.-SM

 

(Visited 49 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button