Jenayah

SPRM terima aduan salah guna kuasa ROS sah penangguhan pemilihan UMNO

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan ada menerima aduan terhadap seorang pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kerana dikatakan menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah bagi mengubah keputusan yang dibuat pada 6 Ogos lalu iaitu penangguhan pemilihan UMNO sebagai tidak sah kepada sah.

Laporan Harian Metro yang memetik sumber memaklumkan, pegawai kanan itu didakwa meluluskan penangguhan pemilihan UMNO sehingga Disember 2022 bagi tempoh 18 bulan menerusi sepucuk surat bertarikh 30 Ogos lalu.

Kata sumber, aduan berkenaan diterima daripada beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat itu.

“Mereka mengesyaki berlakunya perbuatan salah guna kuasa dan rasuah untuk mempengaruhi perubahan keputusan oleh segelintir ahli politik yang cenderung kepada pemimpin tertentu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan ada menerima aduan terbabit namun enggan mengulas lanjut.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan pada Isnin lalu, memaklumkan RoS membatalkan keputusannya sebelumnya.

Beliau mengesahkan ada menerima surat pemakluman daripada RoS mengenai keputusan itu pada hari yang sama.

Katanya ketika itu, berdasarkan semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang beliau dan peguam UMNO berikan pada 9, 11 dan 18 Ogos lalu serta beberapa keterangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO  pada 24 Ogos, didapati keputusan penangguhan pemilihan parti itu untuk penggal 2021/2023 dibuat secara teratur.

Maka, pemilihan jawatan UMNO untuk MKT, bahagian dan cawangan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada RoS iaitu sebelum 29 Disember ini.

UMNO sebelum ini dilaporkan menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan MKT selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu.

Pada 6 Ogos lalu, RoS menetapkan keputusan MKT UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.

Ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.

(Visited 118 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button