Nasional

SPRM tahan tiga pengarah syarikat termasuk dua Datuk

TIGA pengarah syarikat termasuk dua bergelar Datuk direman selama lima hari bermula hari ini kerana disyaki memberi rasuah berjumlah jutaan ringgit kepada pegawai-pegawai syarikat telekomunikasi untuk mendapatkan nombor telefon pelanggan bagi tujuan penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Difahamkan, perintah reman sehingga 14 November depan itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut pagi ini.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek berumur di antara 41 hingga 48 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara pukul 9 hingga 11 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan.

Jelas sumber, mereka yang merupakan pengarah bagi tiga syarikat berlainan disyaki telah membayar  wang rasuah kepada pegawai-pegawai syarikat telekomunikasi.

“Wang tersebut diberi untuk mendapatkan nombor telefon pelanggan bagi digunakan oleh sindiket penipuan ‘content provider’ menerusi SMS dengan mengenakan bayaran langganan tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009. -SM

(Visited 430 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button