Ekonomi

KTMB jawab Anthony: Mesin tiket diselenggara, bukan tidak berfungsi

KETIGA-TIGA mesin tiket layan diri (TVM) di stesen KTM Komuter Kuala Lumpur kini dalam proses penyelenggaraan dan ujian, bukan tidak berfungsi seperti didakwa.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Datuk Ir. Kamarulzaman Zainal dalam satu kenyataan memaklumkan ketiga-tiga mesin itu dijangka boleh digunakan hujung bulan ini.

Beliau berkata ujian ke atas ketiga-tiga mesin itu merangkumi ketahanan dan integrasi rangkaian sistem.

Kamarulzaman berkata demikian sebagai mengulas gesaan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook semalam agar KTMB memastikan mesin tersebut berada dalam keadaan baik.

Semalam selepas meninjau kemudahan Jambatan Pejalan Kaki Pasar Seni yang menghubungkan stesen LRT Pasar Seni dan stesen KTM Komuter Kuala Lumpur, Loke mendapati tiga daripada empat TVM di stesen itu tidak berfungsi.

Loke meluahkan rasa tidak puas hati dan menyifatkan insiden itu sebagai memalukan dan memberi gambaran negatif kepada imej negara terutama di mata pelancong asing.

Sementara itu, Kamarulzaman berkata dua daripada mesin tersebut merupakan milik KTMB manakala dua lagi dimiliki syarikat pengangkutan awam lain.

“Ia turut berfungsi mengeluarkan tiket yang akan diintegrasikan bagi penggunaan pelbagai produk KTMB,” tambahnya.

Selain mesin tiket, para penumpang masih boleh mendapatkan tiket melalui sistem dalam talian ataupun di semua kaunter tiket milik syarikat itu.

KTMB juga memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku. – BERNAMA

(Visited 431 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button