HiburanpilihanRencah Hidup

Bersolat Sambil Pakai Inai Celup Nunha & Che Ta? Ini Respon Dari Sudut Agama!

Inai merupakan sejenis pohon berbunga yang mana daunnya digunakan untuk mewarnai kulit badan manusia, rambut, kuku, barangan kulit serta pewarna untuk kain.

Dalam masyarakat Melayu, daun inai dihancurkan dan dipakai oleh pengantin wanita pada jari sebagai penyeri dan ada juga menggunakan inai bagi tujuan perubatan.

Disebabkan perubahan zaman, ada sahaja inovasi yang berlaku dan inai juga tidak terkecuali menerima tempiasnya apabila produk berbentuk inai celup diperkenalkan.

Misalnya, selebriti Neelofa mengeluarkan inai celup dengan jenama Nunha manakala Rozita Che Wan pula memperkenalkan inai celup dengan jenama Che Ta.

Inai jenama Nunha menghasilkan warna coklat dan segelintir pengguna mengibaratkan warna tersebut seakan-akan kesan apabila ‘kuku tersepit pada pintu’.

Manakala inai jenama Che Ta pula menghasilkan warna merah pekat dan Anas Zahrin meminta pengguna tidak membeza-bezakan warna kedua-dua jenama inai tersebut.

Dalam erti kata lain, pengguna bebas untuk memilih warna kesukaan dan keunikan warna ini adalah bersifat subjektif selain kurang sesuai untuk ‘dimomokkan’.

Namun di sebalik isu remeh mengenai warna inai celup tersebut, terdapat satu lagi persoalan besar pengguna mengenai tahap daya lekat inai celup berkenaan.

Antara soalan yang diajukan adalah mengenai status kehalalannya dan sekiranya seseorang wanita itu memakai inap celup dan perlu mengambil wuduk atau mandi wajib, adakah kawasan jari berkenaan boleh diresapi air.

Disebabkan masih ramai umat Islam terkeliru dengan terma ‘halal’ dan ‘sah’, terdapat dua penerangan yang harus difahami agar permasalah ini dapat dikurangkan.

Halal berkait dengan status hukum. Jika bertanya bagaimana menilai sesuatu produk itu halal, ia bergantung ke atas bahan-bahan yang terkandung di dalamnya.

Sesuatu produk itu akan diiktirafkan halal menurut syarak jika diperbuat daripada bahan yang sumbernya halal, bersih, tidak mengandungi najis, bebas bahan kimia atau lemak haiwan seperti khinzir.

Sah juga termasuk dari segi hukum namun ia terguna pakai ke atas syariat atau pelaksanaan dan ‘sah’ serta ‘halal’ ini memiliki konotasi yang sangat berbeza.

Dalam erti kata lain, sekiranya inai celup itu diiktiraf halal kerana dibuat daripada bahan-bahan semula jadi, maka ia sah dipakai kerana air boleh mengalir pada kawasan yang diinai.

Biar pun inai celup itu diperbuat daripada kandungan yang halal namun bersifat kalis air dan tidak menyerap, maka ia berisiko (tidak sah) kepada tertib untuk mengambil wuduk atau mandi wajib.

Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’ berkata:

“Apabila adanya di atas sebahagian anggota lilin atau tepung atau inai dan seumpama dengannya yang mana ia menghalang ke anggota, maka tidak sah taharahnya, sama ada banyak atau sedikit.

“Jika berbaki di atas tangan dan selainnya kesan inai dan warnanya tanpa ‘ainnya (zatnya) atau kesan lemak cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota dan air juga mengalir di atasnya akan tetapi ia tidak melekat (iaitu air tidak melekat pada kesan minyak di atas tangan), maka sah taharahnya.” [Lihat: al-Majmu’ jilid 1, hlm. 467]

Menurut Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi dalam fatwanya berkaitan hukum menghilangkan cat di kuku ketika berwuduk, beliau ditanya:

“Adakah wajib bagi saya menghilangkan cat kuku (jika jenis kalis air) ketika berwuduk?”

Maka Syeikh menjawab:

“Ya! Sesungguhnya engkau telah pun mengatakan ia adalah cat yang menghalang air daripada sampai ke kulit maka wajib engkau menghilangkan ketika mengangkat hadas kecil atau besar. [Lihat: Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah, hlm. 198]

Mengikut pandangan Imam al-Nawawi dan Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi, jelaslah kita sebagai umat Islam harus melihat sesuatu perkara itu secara keseluruhan.

Jika kurang ilmu mengenainya sampaikan bila mahu gunakan terma ‘halal’ atau ‘sah’ pun masih mendatangkan kekeliruan, rujuklah pada pakar dan usah cuba menjadi pakar agama dalam media sosial.

(Visited 4,848 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button