BeritaNasional

Siti Hamisah ketuai pasukan siasatan kematian pelatih perubatan

KEMENTERIAN Kesihatan telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi menyiasat kes kematian pegawai pelatih perubatan dan dakwaan budaya buli dalam perkhidmatan kesihatan yang diketuai Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir.

Ia akan dikenali sebagai Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF).

Penubuhannya secara rasmi diumumkan hari ini, turut dianggotai lapan individu profesional dan pakar dalam bidang masing-masing.

Anggota lain adalah bekas Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin; Pro-Naib Canselor, Akademik dan Profesor Pediatrik di Fakulti Perubatan dan Kesihatan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof Dr Zabidi AM Hussin; dan peguam, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla.

Pakar Perunding Psikiatri Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin; Ketua Pegawai Eksekutif IMU Healthcare, Dr Chong Su-Lin; pakar bidang komunikasi dan media, keselamatan pesakit, pembangunan jenama serta pengurusan krisis, Manvir Victor.

Pakar penilaian, membangun dan melatih ketua pegawai eksekutif (CEO), eksekutif dan pemimpin berpotensi tinggi, Sivaramakrishnan Balasubramanian dan wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata mengambil kira kepentingan perkhidmatan kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada negara dan pembangunan modal insan, skop dan terma Pasukan Petugas Khas itu akan merangkumi aspek budaya kerja serta pengurusan sumber manusia kakitangan kesihatan.

Katanya, pasukan itu antara lain berperanan membuat analisis dan penilaian budaya kerja, pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan kesihatan, secara umum dan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) secara khusus.

Katanya, ia merangkumi aspek masa dan beban kerja, saluran aduan, kepemimpinan, bimbingan dan latihan, penilaian prestasi, penyampaian perkhidmatan, serta peluang kerjaya.

“Seterusnya, menganalisis maklumat dan hasil siasatan insiden kematian PPS di Hospital Pulau Pinang, memanggil dan mendapatkan penerangan tentang budaya kerja serta proses pengurusan sumber manusia bagi perkhidmatan kesihatan secara umum, dan PPS secara khusus.

“Ia akan membabitkan sesi taklimat dan libat urus bersama bahagian di KKM yang berkaitan, kakitangan KKM, badan berkanun, badan bukan kerajaan serta mana-mana pihak atau individu berdasarkan keperluan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – SM

(Visited 230 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button