
SPRM ada 25 jam sehari untuk siasat pegawai KDN – Saifuddin
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai ‘25 jam’ sehari untuk menjalankan siasatan terhadap salah laku pegawai di Kementerian Dalam Negeri (KDN), kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, tiada sebarang komen akan diberikan kecuali memberikan kerjasama penuh dengan membenarkan SPRM menjalankan siasatan terhadap mana-mana individu yang terlibat.
“Saya di peringkat Menteri Dalam Negeri, sama ada pegawai di pejabat KDN atau agensi, SPRM ada ‘25 jam’ sehari untuk masuk dan siasat.
“Lakukan tugas sesuai dengan tanggungjawab mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penahanan tiga individu, termasuk dua daripadanya dipercayai pegawai KDN.
Penahanan tersebut dilakukan oleh SPRM menerusi Ops Outlander pada Khamis lalu yang berkaitan dengan siasatan kes rasuah membabitkan proses mempercepatkan permohonan taraf warganegara.
Pada Mac lalu, media melaporkan bahawa operasi berkenaan turut menyiasat sindiket penjualan sijil kelahiran yang didakwa dijual sehingga mencecah RM50,000 kepada ibu bapa yang mempunyai anak angkat atau kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.
Sebanyak 11 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM100,000 dilaporkan telah dibekukan, selain 30 dokumen berkaitan turut disita.
Antara individu yang ditahan ketika itu termasuk seorang penjawat awam, seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri, seorang pengamal undang-undang serta beberapa ejen dan pemohon.