Nasional

SPRM: 290 individu pemberi maklumat dilindungi akta

AKTA Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 memberi jaminan individu yang bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan rasuah dan salah guna kuasa dilindungi.

Seramai 290 individu setakat ini diberi perlindungan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah akta berkenaan sejak 2016.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, di bawah akta itu, keselamatan mereka yang memberi maklumat dan bekerjsama dengan pihak SPRM dilindungi dan dijamin.

“Pada saya, ia merupakan jumlah yang banyak (290 individu) dan mereka ini adalah yang sanggup bekerjasama dengan SPRM.

“Pihak SPRM memerlukan lebih banyak maklumat daripada orang ramai seperti ini supaya kami dapat mengumpul maklumat dengan lebih banyak dan bergerak dengan lebih berkesan lagi,” katanya kepada BERNAMA.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui, SPRM tidak terlepas berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan maklumat.

Ini kerana masih ramai di luar sana yang takut untuk melaporkan kegiatan rasuah yang berlaku di sekeliling mereka.

Antara faktor yang menyukarkan sesetengah individu berkongsi maklumat dengan agensi berkemungkinan disebabkan mereka ini takut dibuang kerja atau akan menjejaskan perniagaan yang diusahakan, kata beliau.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya sedar bahawa untuk mendapatkan pengadu datang kepada pihak SPRM untuk membuat aduan adalah amat sukar dan peratusannya juga terlalu kecil.

Beliau menjelaskan, SPRM merupakan agensi yang menggunakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat agar mereka dilindungi daripada segala ancaman termasuk risiko dibuang kerja.

“Banyak kes yang dikendalikan pada ketika ini adalah berdasarkan kepada maklumat yang diberikan oleh pemberi maklumat.

“Dan mereka ini dilindungi oleh undang-undang termasuk daripada sebarang tindakan undang-undang oleh majikan mereka,” katanya. – SM

(Visited 226 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button