Nasional

Vaksin pelajar: KPM kenal pasti sekolah dijadikan PPV

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi membantu pendaftaran murid sekolah untuk tujuan vaksinasi Covid-19.

Menteri Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihaknya juga akan mengenal pasti sekolah untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) kepada murid-murud sekolah.

“KPM turut membantu dalam menyediakan petugas dan keperluan logistik untuk tujuan ini.

“Kerjasama strategik KPM dan KKM ini pastinya dapat mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada murid sekolah,” katanya.

KKM dan KPM hari melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja), di SMK Putrajaya Presint 8(1).

Seramai 323 murid berusia 16 dan 17 tahun dari sekolah tersebut menjadi kumpulan pertama menerima vaksin menerusi program PICK Remaja.

Katanya, secara keseluruhan, terdapat seramai 377,591 murid berumur 16 tahun dan 371,676 murid berusia 17 tahun di seluruh negara.

“Alhamdulillah, proses vaksinasi pagi ini berlangsung dengan teratur dan tersusun.

“Sejurus tiba, murid yang ditemani ibu bapa/penjaga perlu mendaftar, diambil suhu badan, diikuti sesi kaunseling dan persetujuan sebelum dibenarkan menerima suntikan vaksin,” katanya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum itu berkata, pihaknya mensasarkan 60 peratus remaja lingkungan 12 dan 18 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November ini.

Menurut beliau, 80 peratus golongan berkenaan disasarkan untuk mendapat dos lengkap vaksin menjelang Januari 2022.

Pengecualian hanya akan diberikan kepada remaja yang disahkan oleh doktor mempunyai sebab-sebab tertentu, seperti masalah kesihatan atau alahan terhadap vaksin.

Media sebelum ini melaporkan, lima negeri/wilayah akan melakukan PICK Remaja secara serentak selain Putrajaya, iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Perlis dan Pahang.

Tiga negeri/wilayah yang telah memulakan program berkenaan sebelum ini ialah Sarawak pada 8 Sept, Labuan (11 Sept) dan Sabah (16 Sept).-SM

(Visited 157 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button