Nasional

Imigresen Perlis lakar banyak kejayaan tahun lalu

Dalam tempoh sepanjang setahun ini, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perlis telah berjaya menubuhkan Pusat Latihan Wilayah Utara (INTRAC) yang bertempat di Kuala Perlis, telah diberi penarafan 5 Bintang Tahap Cemerlang dalam Pengurusan Kewangan Jabatan bagi tahun 2019 oleh Bahagian Audit Dalam Kementerian Dalam Negeri, membukukan sejarah penubuhan JIM Negeri Perlis serta menganjurkan Seminar Keselamatan Sempadan Zon Utara.

Demikian dipersembahkan oleh Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perlis, Hj Basri Hj Othman kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di majlis sembah mengadap perpisahan beliau yang diadakan di Pejabat Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kampus Jejawi baru-baru ini.

Beliau diiringi Timbalan Pengarah, Sukmawati Mohd Idris, Ketua Bahagian Penguatkuasa, Mohamad Fauzi Lebai Karim dan Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan, Rohaizad Hamid.

Hj Basri telah memulakan tugas di Perlis bermula 1 Mac 2019 dan akan menamatkan perkhidmatannya pada 16 Mac 2020 yang akan datang untuk bertukar atas sebab kenaikan pangkat ke ibu pejabatnya di Putrajaya.

Sebelum memegang jawatan sebagai Pengarah Imigresen Perlis, Hj Basri pernah bertugas di beberapa jabatan dan memiliki pengalaman yang luas antaranya sebagai Ketua Unit Integriti, Ketua Unit Pengukuhan serta Pengarah Bahagian Perisikan, Operasi dan Analisa di Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya serta Ketua Pusat Pengajian di Akademi Imigresen Malaysia.

Sepanjang tempoh sepuluh bulan yang lalu sahaja juga Jabatan Imigresen Perlis telah mengecapi pelbagai kejayaan membanggakan untuk negeri ini termasuklah telah berjaya menumpaskan sindiket ‘Abang Botak’ iaitu sindiket Pemalsuan Dokumen (18 Jun 2019), menahan seorang wanita warganegara Indonesia yang menyamar sebagai pelarian UNHCR (3 Ogos 2019), memberkas tekong warga Thailand bernama ‘Mid Gajah’ yang mendalangi kegiatan penyeludupan PATI memasuki Perlis melalui jalan laut (13 September 2019), seramai 27 peniaga di Arked Niaga Padang Besar ditahan kerana berniaga tanpa permit (21 Oktober 2019), berjaya memberkas tiga pendatang asing di ICQS Padang Besar yang bersembunyi di dalam bonet kereta (26 Oktober 2019), serta berjaya menumpaskan sebuah sindiket penyeludupan imigran yang membuat cubaan masuk secara haram melalui jalan dagang di ICQS Padang Besar (23 November 2019).

Sempena majlis mengadap tersebut, Tuanku Raja Muda Perlis menitahkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan beliau sepanjang berkhidmat di negeri Perlis serta mendoakan kejayaan beliau di masa hadapan.

Baginda juga berharap pengganti Hj Basri dengan sokongan padu oleh warga kerja Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perlis akan meneruskan usaha-usaha keras serta integriti beliau dan pada masa yang sama masyarakat Perlis secara umum tidak teragak-agak membuat lapuran secara pantas jika terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada jabatan berkenaan untuk membuktikan bahawa rakyat negeri Perlis ini mengamalkan sikap bermentaliti kelas pertama dalam tindakan untuk kebaikan bersama.

(Visited 514 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button