Nasional

Biadab minum arak di pusat kuarantin, tidak hormat petugas kesihatan

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyelar tindakan sekumpulan individu yang minum arak di sebuah pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah di Sabah.

Presiden CUEPACS Adnan Mat berkata, sikap beberapa individu itu sebagai sangat biadap dan kurang ajar kerana seolah-olah sedang bergembira sedangkan petugas barisan hadapan di pusat kuarantin sibuk mengerah keringat menyelamatkan rakyat daripada pandemik Covid-19.

Perbuatan mereka minum arak seperti tidak menghormati pengorbanan petugas kesihatan dan barisan hadapan yang lain dan secara jelas telah melakukan kesalahan menyalahgunakan fasiliti kesihatan yang digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

“Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, sewajarnya mereka sentiasa berdisiplin dan mematuhi peraturan apatah lagi ketika sedang mendapatkan rawatan daripada petugas kesihatan.

“Tindakan meminum bir itu juga boleh mengundang ketidakselesaan pesakit lain yang sedang dirawat dan mungkin boleh mencetuskan masalah lain sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal.

“Justeru CUEPACS menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas kepada pelaku terbabit yang sememangnya jelas sengaja melanggar undang-undang,” kata Adnan dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas mengenai satu video klip yang mendakwa sekumpulan pesakit Covid-19 yang sedang dikuarantikan kelihatan sedang minum arak.

Adnan mahu tindakan sewajarnya diambil terhadap pelaku agar tidak ada pihak lain yang berani bertindak seolah-olah petugas barisan hadapan sedang berseronok atau berhadapan dengan satu perkara yang remeh.

Selain itu, tindakan juga perlu diambil terhadap pihak yang terlibat membawa, membekalkan atau melepaskan minuman keras itu kepada pesakit yang dirawat.

“Sekiranya ada penglibatan oleh pihak pengawal keselamatan atau petugas kesihatan sendiri, tindakan tatatertib wajar dikenakan kerana ia mencemarkan integriti terutamanya membabitkan penjawat awam.

“Pekara ini tidak boleh dipandang remeh dan pihak berkuasa tidak perlu melindungi mereka yang bersalah. CUEPACS berharap tindakan dan keputusan siasatan ini dapat dilakukan dengan segera serta tidak mengambil masa yang lama,” katanya.

CUEPACS menasihatkan agar semua pihak agar tidak melakukan perkara yang jelek di mana-mana pusat kuaranti yang menggambarkan mereka sedang bergembira di derita petugas barisan hadapan.

Pesakit harus menjaga tingkah laku masing-masing dan tidak bertindak mengikut perasaan walaupun berada dalam tertekan atau bosan.

“Hormatilah petugas barisan hadapan yang berkorban nyawa berhadapan dengan virus Covid-19 ini. Kerjasama daripada semua rakyat sudah sekurang-kurangnya membantu dan memberi semangat kepada petugas barisan hadapan kita,” kata Adnan.

Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi sebelum itu memberitahu pihaknya sedang menyiasat kejadian tersebut.-SM

 

 

(Visited 2,664 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button