
SPM 2024 Meletop! PTTI Raih Dua Rekod Malaysia Sekaligus!
PUSAT Tuisyen PTTI terus mengukir sejarah dalam dunia pendidikan apabila berjaya merangkul dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) atas pencapaian luar biasa dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Pengiktirafan tersebut diberikan melalui dua kategori iaitu Most Straight A’s SPM Students in a Tuition dan Most SPM Grade A’s Obtained by a Tuition, selepas PTTI mencatat kejayaan melahirkan seramai 401 pelajar yang memperoleh keputusan semua A serta menghimpunkan 18,432 gred A secara keseluruhan.
Kejayaan gilang-gemilang ini diraikan dalam Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2025 yang berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dengan kehadiran lebih 2,000 tetamu terdiri daripada pelajar, ibu bapa, pendidik serta tokoh terkenal tanah air.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran selebriti dan personaliti terkemuka seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Dato’ K), Datuk Wira Dr. Azizan Osman, Asyraf Khalid, MK K-Clique, Iman Troye, Alyssa Dezek, Zaki Yamani, Naim Daniel dan ramai lagi.
Selain meraikan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang semua A, majlis turut menghargai pencapaian 356 pelajar yang hampir mendapat semua A serta 1,685 pelajar lain yang berjaya meraih sekurang-kurangnya enam A dalam peperiksaan SPM 2024.
Sebagai tanda penghargaan, PTTI dengan kerjasama Yayasan Nurjiwa turut memberikan insentif wang tunai sebanyak RM500 kepada setiap pelajar yang memperoleh keputusan ‘Straight A’s’, menjadikan jumlah keseluruhan insentif mencecah RM200,500.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman berkata, kejayaan ini bukan sahaja hasil usaha tenaga pengajar, tetapi juga komitmen pelajar serta sokongan ibu bapa yang tidak pernah berputus asa.
Menurutnya, pencapaian ini membuktikan bahawa pendidikan berkualiti dan sistematik mampu mengubah masa depan seseorang pelajar, dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk berjaya.
Melihat kejayaan ini sebagai titik permulaan, PTTI kini menyasarkan untuk melahirkan 1,000 pelajar ‘Straight A’s’ bagi SPM 2025. Antara usaha yang akan diteruskan termasuklah penyediaan kelas dalam talian, konsultasi akademik secara peribadi dan pemantauan prestasi pelajar secara konsisten.
Sebagai langkah sokongan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini, PTTI turut menawarkan sesi konsultasi percuma bagi membantu meningkatkan prestasi akademik secara menyeluruh.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di www.ptti.my.