Politik

Speaker terima usul tidak percaya Dr. Mahathir terhadap PM

USUL Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya Dewan Rakyat membuat ketetapan terhadap kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri diterima Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof menerima

Resolusi yang dikemukakan oleh Dr. Mahathir itu mahu Dewan Rakyat membuat ketetapan bahawa Muhyiddin tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Berhormat Dewan Rakyat.

Menurut Mohamad Ariff usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) itu diterima untuk dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat kelak.

Mohamad Ariff bagaimanapun menolak satu lagi usul bekas Perdana Menteri itu di bawah Peraturan Mesyuarat 4 bagi mengekalkan jawatan beliau sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat sehingga Parlimen dibubarkan.

“Setelah meneliti berdasarkan penjelasan yang dikemukakan saya memutuskan bahawa usul di bawah Peraturan Mesyuarat 4 adalah ditolak kerana tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.

“Manakala usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) diterima untuk dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat kelak,” kata Mohamad Ariff.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohamad Arif berkata, Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 akan berlangsung selama satu hari iaitu pada Isnin 18 Mei.

Mesyuarat berkenaan akan dimulakan dengan Istiadat Perasmian Parlimen dan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ia kemudian disusuli dengan Mesyuarat Dewan Rakyat yang hanya akan membincangkan Usul Urusan Kerajaan dan Rang Undang-Undang.

Sebelum ini permohonan undi percaya Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Shafie Apdal terhadap Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad ditolak Speaker Dewan Rakyat.

Mohamad Arif berkata, beliau tidak membenarkan permohonan bertarikh 4 Mei itu kerana tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan jawatan Perdana Menteri.

“Saya telah meneliti usul yang dikemukakan oleh YB Datuk Seri Panglima serta perincian penjelasannya.

“Berdasarkan penjelasan yang dinyatakan dalam usul tersebut, saya mendapati ia adalah tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikai kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan jawatan YAB Perana Menteri,” kata Mohamad Arif.

Sebelum itu tersebar di media sosial surat daripada Shafie kepada Mohamad Ariff bagi memohon izin majlis membawa satu usul dan mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Dr. Mahathir mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

(Visited 248 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button