Nasional

Boikot, atau tangguh sekurang-kurangnya tiga bulan dari enam bulan

Pergerakan Pemuda UMNO Johor menggesa semua syarikat kewangan berlesen termasuk AEON Credit supaya menangguhkan kutipan bayaran bulanan sekurang-kurang untuk tiga bulan.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, penangguhan bayaran sekurang-kurangnga tiga bulan sebagai menghargai pelanggan yang selama ini memberikan sokongan dan menggunakan khidmat mereka.

Tanpa sokongan dan khidmat berterusan daripada pelanggan, katanya sudah tentu syarikat kewangan berlesen di negara ini tidak dapat menjalankan perniagaan mereka sekali gus menjana keuntungan.

“Jadi, apa salahnya syarikat-syarikat berkenaan turut berlapang dada bagi memberikan penangguhan bayaran sekurang-kurangnya tiga bulan bagi membantu pelanggan mereka yang terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19.

“Apa yang Pergerakan Pemuda UMNO Johor sampaikan ini adalah daripada rungutan orang ramai khususnya golongan B40, M40 dan masyarakat kampung serta Felda yang turut mahu syarikat kewangan berlesen juga memberikan penangguhan seperti institusi perbankan,” katanya.

Selain itu, ujarnya syarikat pengguna dan isi rumah elektronik, Coway, Cuckoo dan lain-lain yang menawarkan skim sewa beli kepada pelanggan turut diminta melaksanakan penangguhan bayaran sekurang-kurangnya tiga bulan juga.

“Suka saya ingatkan kepada semua intitusi pinjaman mahupun perbankan, kuasa ketika ini di tangan pengguna atau pelanggan, sama ada mereka memulangkan semula barangan yang dibeli, boikot ataupun syarikat terbabit memberikan penangguhan bayaran.

“Ini merupakan isyarat rakyat kepada syarikat kewangan berlesen termasuk Coway, Cuckoo dan lain-lain syarikat yang menawarkan sewa beli barangan keperluan asas rakyat,” katanya.

Pergerakan Pemuda UMNO negeri Johor katanya, berpandangan, tidak rugi sekiranya syarikat-syarikat terbabit melaksanakan penangguhan bayaran.

“Moratorium ini bukanlah bermaksud rakyat mahu mengambil kesempatan terhadap syarikat-syarikat berkenaan, penangguhan ini hanya sementara sahaja dan apabila keadaan kembali stabil, ia boleh diteruskan kembali seperti biasa.

“Pemberian moratorium ini juga tidaklah diwajibkan kepada pengguna, jika pengguna mampu membayarnya proses kutipan boleh diteruskan seperti biasa.

Keluhan rakyat kepada kami juga ada benarnya, jika sewaktu meminta pelanggan mencarum atau menggunakan perkhidmatan kredit mereka, pelbagai cara rayuan digunakan termasuklah menawarkan hadiah, kini apa salahnya syarikat berkenaan memberikan hadiah pula kepada rakyat.

“Hadiah itu (penangguhan bayaran) pasti menjadi hadiah yang cukup bermakna kepada pelanggan jika syarikat kewangan berlesen termasuk Coway dan Cuckoo memberikan hadiah itu.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua institusi, syarikat dan kerajaan Malaysia yang prihatin kepada Rakyat Malaysia dalam menanggani permasalahan ketika ini,” katanya.

(Visited 679 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button