Nasional

Beku pekerja asing, majikan terpaksa berdepan karenah pekerja tempatan

Menteri kata pengambilan pekerja asing di semua sektor dibekukan

SEJAUH manakah majikan akan berhadapan dengan karenah pekerja tempatan yang dikatakan malu untuk melakukan pekerjaan yang dikosongkan oleh pekerja asing selepas kerajaan mengumumkan, membekukan pengambilan pekerja asing akhir tahun ini.

Kemasukan pekerja asing yang diketahui angkanya ialah seramai 2 juta orang dan lebih kurang sebanyak itulah juga jumlahnya kekosongan pekerjaan yang boleh diisi oleh rakyat tempatan.

Namun begitu, ada yang skeptikal dengan sikap pekerja tempatan yang sekiranya benar, perlulah diubah mentaliti pekerja tempatan supaya mereka ‘bangkit’ dan tidak merasa malu untuk melakukan pekerjaan yang dilakukan oleh pekerja-pekerja asing dalam negara kita.

Memetik laporan MalaysiaKini, Pengarah Eksekutif  Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, majikan kemungkinan akan berdepan dengan karenah pekerja tempatan yang malu untuk melakukan pekerjaan yang dikosongkan oleh pekerja asing selepas kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing.

Beliau berkata, meskipun MEF menyokong langkah kerajaan bahawa tindakan tersebut adalah bagi meningkatkan pengambilan pekerja tempatan namun kerajaan juga harus fleksibel dalam pengambilan pekerja asing sedia ada dalam negara.

“Kalau seorang pekerja asing itu telah ditamatkan perkhidmatan kerana ada syarikat yang tidak memerlukan mereka ini, mereka hendaklah dibenarkan bekerja di sektor- sektor yang memerlukan pekerja.

“Sebagai contoh, di sektor perladangan, banyak kekosongan pekerja dan kita tahu pekerja tempatan tak nak bekerja di sektor perladangan kerana pekerjaan itu dipandang remeh oleh masyarakat,” katanya.

Oleh itu beliau berkata, pekerjaan sedemikian perlu dijenamakan semula supaya lebih menarik minat pekerja tempatan manakala majikan juga perlu melabur untuk teknologi dan automasi bagi pekerjaan seperti itu.

Bekerja Di Pasar Borong Selayang, Orang Malaysia Takkan Tahan Lama ...

Selain itu, Shamsuddin turut memberi contoh situasi di pasar borong Selayang di mana majikan terpaksa berdepan dengan sikap pekerja tempatan yang tidak mempunyai daya tahan untuk melakukan pekerjaan yang dilakukan oleh pekerja asing sebelum ini yang mana kata Shamsuddin, pekerja tempatan hanya mampu tahan bekerja dalam tempoh yang singkat berbanding pekerja asing yang mempunyai ketahanan bekerja di pasar borong untuk tempoh yang lebih lama.

Pada 22 Jun lalu, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata, pekerja asing dalam semua sektor dibekukan hingga hujung tahun ini dengan peluang pekerjaan kini diutamakan kepada penduduk tempatan.

Pada masa sama beliau berharap pencari kerja menerima peluang pekerjaan yang ada bagi memastikan negara tidak bergantung kepada pekerja asing.

Bagaimanapun, Shamsuddin berkata, persediaan perubahan untuk majikan dari segi kos penggajian dan penerimaan pekerja tempatan dalam menghadapi langkah yang diumumkan kerajaan itu perlu dilakukan secara berperingkat.

(Visited 453 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button