Nasional

Sijil Pematuhan Syariah Angkasa disalahguna cari keuntungan

SIJIL Pematuhan Syariah, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) diseleweng oleh individu atau syarikat demi untuk mencari keuntungan.

Mendedahkan perkara tersebut Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, perkara tersebut bermula sejak 2018 dan sehingga kini sebanyak 30 aduan serta laporan rasmi telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, sijil yang dikeluarkan oleh Angkasa itu digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menipu orang ramai dengan menawarkan peluang untuk melabur.

Beliau berkata, kegiatan tersebut terus meningkat setiap tahun dan Angkasa telah meminta kerjasama daripada PDRM untuk mengambil tindakan terhadap individu atau mana-mana syarikat menyalahguna sijil berkenaan.

Jelasnya, Sijil Pematuhan Syariah yang dikeluarkan Angkasa mendapat permintaan tinggi daripada syarikat-syarikat serta individu kerana keyakinan orang ramai hingga menyebabkan mereka mengalami kerugian.

“Saya minta orang ramai supaya berhati-hati dan tidak percaya jika ada individu atau syarikat yang kononnya ingin mempelawa untuk membuat pelaburan sambil menunjukkan Sijil Pematuhan Syariah yang dikeluarkan oleh Angkasa.

“Angkasa mengeluarkan Sijil Pematuhan Syariah hanya dikhususkan dalam kalangan koperasi-koperasi yang menjadi ahli Angkasa dari seluruh negara.

“Orang ramai boleh mengelak daripada terjebak dengan penipuan itu dengan membuat imbasan kod QR pada sijil itu bagi memastikan ketulenan,” ujarnya dalam sidang akhbar di pejabat Perhubungan Angkasa Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Perkhidmatan Kutipan dan Pemulihan Kredit Angkasa (ACCRS).

Tiga koperasi yang memeterai MoA ialah Koperasi Pekerja-Pekerja Kumpulan Sokongan Melaka Berhad, Koperasi Majlis Perbandaran Melaka Berhad dan Koperasi Perubatan dan Kesihatan Melaka Berhad.

Mengulas lanjut Abdul Fattah berkata, setakat ini sebanyak 252 daripada 610 koperasi di seluruh negara telah mendapat Sijil Pematuhan Syariah sejak 2013.

Menurutnya, daripada jumlah 610 koperasi, 70 peratus adalah majoriti ahli-ahlinya adalah beragama Islam.

Beliau berkata, sebanyak 70 koperasi telah menyertai dan melanggan Sistem Tawarruq Angkasa bagi
tahun 2021 hingga 2022. – SM Melaka

(Visited 283 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button