SOP Thaipusam Hasil Cadangan Pengurusan Kuil, Kata Menteri
KUALA LUMPUR: Semua senarai prosedur operasi standard (SOP) sambutan Thaipusam dibuat berdasarkan cadangan pihak pengurusan kuil serta penilaian risiko kesihatan dan pencegahan penularan Covid-19, termasuk ancaman varian Omicron.
Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique berkata, semua cadangan dan permintaan tersebut dibentangkan kepada kementerian itu menerusi sesi libat urus bersama pengerusi dan pengurusan kuil di beberapa negeri.
Katanya, semua cadangan itu seterusnya dibawa kepada Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 untuk pertimbangan dan kelulusan berdasarkan keperluan menjaga keselamatan serta kesihatan daripada jangkitan pandemik itu.
“Kementerian membawa cadangan dan permintaan mereka ke jawatankuasa Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 untuk dipertimbangkan dari segi keselamatan dan kesihatan rakyat serta penganut…maka terhasil SOP ini.
“Namun, ada pihak yang tidak hadir ketika sesi libat urus itu mengeluarkan kenyataan mendakwa saya telah berjanji macam-macam untuk SOP, sedangkan pengerusi kuil sudah senaraikan cadangan dan permintaan untuk perayaan ini,” katanya selepas meninjau persiapan sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves.
Semalam, Halimah mengumumkan SOP sambutan perayaan itu, antaranya menetapkan hanya upacara “paal koodam” atau menjunjung belanga berisi susu, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati, dibenarkan pada Thaipusam kali ini.
Upacara “paal koodam” dibenarkan bermula esok hingga 19 Jan, dengan penetapan jumlah kehadiran berbeza mengikut kuil, manakala acara “kavadi” serta gerai sementara tidak dibenarkan.
Upacara sembahyang secara bersesi serta perjalanan dan pergerakan kereta pedati pula dibenarkan mengikut SOP ditetapkan.
Terdapat 12 sesi sembahyang pada 16 hingga 17 Jan, serta 19 Jan bermula 5 pagi hingga 5 petang, manakala 18 sesi ditetapkan bagi 18 Jan bermula 5 pagi hingga 11 malam, dengan jumlah kehadiran mengikut kuil masing-masing dan perlu disanitasi selepas setiap sesi tamat.
Susulan pengumuman itu, timbul dakwaan mengatakan kementerian itu tidak “mendengar” permintaan penganut Hindu yang menyambut perayaan itu.
Mengenai SOP di Batu Caves yang menempatkan kuil terbesar di negara ini, Halimah berkata, pihak pengurusan kuil akan menyediakan “tag” bernombor bagi memastikan jumlah kehadiran 6,000 penganut setiap hari dan 500 orang setiap sesi sembahyang dapat dipatuhi.