Nasional

SOP, kuarantin – Tiada double standard – Muhyiddin

“NO double standard”. Itu kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin dalam Perutusan Khasnya yang disiarkan secara langsung dari kediaman rasminya hari ini berhubung pematuhan SOP khususnya menjalani kuarantin di rumah.

Muhyiddin secara terus terang memberitahu rakyat Malaysia bahawa beliau sekarang kuarantin di rumah.

“Baru-baru ini saya menghadiri mesyuarat dan seorang menteri positif Covid-19.

“Saya sebagai Perdana Menteri tidak terkecuali daripada tertakluk kepada SOP. Ini kali kedua saya menjalani kuarantin di rumah sejak Covid-19 melanda negara kita.

“Kita mesti patuh peraturan. Selain saya yang menjalani kuarantin di rumah, ketika mesyuarat itu, bersama saya ada tujuh menteri dan enam timbalan menteri.

“Mereka semua tidak terkecuali. Mereka juga mesti patuh pada peraturan dan tindakan boleh diambil jika mereka engkar,” jelas Muhyiddin.

Beliau juga berkata, wabak atau virus Covid-19 tidak kenal pangkat atau darjat.

Virus boleh jangkiti sesiapa sahaja. SOP ditetapkan oleh pihak berkuasa dan mesti dipatuhi semua orang, tegas Muhyiddin.

“Jangan leka. Saya yakin kes Covid-19 meningkat dalam waktu terdekat namun Kementerian Kesihatan juga menjalankan ujian sariangan yang lebih agresif di penjara dan pusat tahanan.

“Kita sedar beberapa minggu lalu, kes Covid-19 di penjara dan tahanan adalah penyumbang besar.

“Kita akan buat keputusan penting untuk membendung virus daripada terus menular. Pelaksanaan PKPD atau Temco hanya akan dilaksanakan di zon merah,” kata beliau.

Walaupun berada dalam kuarantin, Muhyiddin berkata, beliau mengadakan sidang video harian bersama para Menteri dan pegawai kanan kerana itu adalah norma baharu dan diberi keutamaan.

“Yang penting mesti sama-sama hadapi keadaan sukar. Harap semua tidak mudah panik atau membuat kesimpulan sendiri.

“Kita hadapi situasi bersama-sama dan kita elakkan daripada menyebar berita palsu yang boleh menyebabkan kita sendiri keliru,” ujar Muhyiddin.

Tambah beliau, maklumat yang disebarkan oleh MKN berasaskan data dan fakta daripada sumber berautoriti.

Walaupun beliau tahu ramai yang mahu memberi cadangan kepada kerajaan berhubung kes Covid-19 kerana merek prihatin.

“Ada yang mesej saya secara peribadi. Ada yang komen di media sosial.

“Saya alu-alukan pandangan dan semuanya diberikan perhatian. Pandangan yang baik, dibincangkan di peringkat khas MKN.

“Kerajaan dengar, baiki dan terima teguran. Keadaan sekarang tidak mudah dan usah tuding jari mencari kesalahan mana-mana pihak.

“Saya tahu ada pihak yang sengaja menangguk di air keruh. Jangan peduli mereka. Fokus usaha tangani pandemik ini,” kata Muhyddin. – SM

 

(Visited 227 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button