fbpx
Nasional

SOP benarkan penggambaran drama, filem perlu pencerahan

Boleh rentas negeri bernikah

ADA dua berita baik yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar hariannya, hari ini.

Berita pertama yang menarik perhatian para pekerja kreatif yang terlibat dalam penggambaran drama dan filem, sudah boleh memulakan penggambaran mulai 10 Jun ini.

Pengumuman itu sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh warga kerja kreatif yang pendapatannya terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada 18 Mac lalu.

Mereka tidak boleh keluar bekerja, tidak boleh shooting dan hanya duduk diam di rumah sedangkan simpanan yang ada, semakin menyusut.

Apabila Ismail Sabri berkata, kebenaran diberi kepada mereka untuk bekerja di lokasi penggambaran drama, filem dan sebagainya, kesemua yang terbabit perlu menjaga jarak sosial dan akur serta patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).


Memang SOP akan dipatuhi tetapi SOP apakah selain daripada menjaga jarak sosial, perlu dipatuhi oleh production house dan krew serta pelakon?

Perkara ini perlu diberikan pencerahan oleh Ismail Sabri sebelum 10 Jun kerana menjaga jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter, sudah pun menjadi budaya baharu masyarakat kita.

Lokasi penggambaran bukan tempat berhimpun, kata Ismail Sabri.

Namun begitu, SOP lokasi penggambaran perlu diberi garis panduan yang lebih jelas dan tidak kabur.

Apakah 20 orang boleh berada di lokasi penggambaran dalam satu-satu masa?

Lain-lain SOP yang dikira perlu untuk dipatuhi oleh seluruh warga produksi, mesti diberikan pencerahan oleh pihak Menteri agar tidak ada yang melanggar SOP kerana ia tidak jelas dan diperjelaskan awal-awal lagi.

Berita baik kedua yang diumumkan oleh Ismail Sabri hari ini ialah pasal nikah kahwin.

Buat pasangan berbeza negeri yang ingin melangsungkan pernikahan, kerajaan membenarkan rentas negeri bagi tujuan akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ismail Sabri berkata, bagaimanapun majlis tersebut perlu mengikut SOP yang telah ditetapkan.

“Ramai yang memohon kebenaran rentas negeri antaranya untuk bernikah dengan pasangan di negeri yang lain.

“Jadi, mesyuarat hari ini membuat keputusan untuk membenarkan mereka rentas negeri untuk akad nikah.

“Namun perlu mengikut SOP jarakan sosial dan tidak ada perhimpunan ramai,” jelasnya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga memutuskan untuk membenarkan jurufoto perkahwinan melakukan penggambaran pra-perkahwinan di tempat terbuka mengikut SOP ditetapkan. – SM

(Visited 7 times, 2 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button