fbpx
Nasional

Solat Jumaat dengan jemaah terhad di Kuala Lumpur, Putrajaya

SEMUA masjid dan surau di Kuala Lumpur dan Putrajaya dibenar menunaikan solat Jumaat esok dan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tetapi dengan jumlah jemaah yang terhad.

Sementara itu untuk Selangor ia bergantung kepada pertimbangan pihak berkuasa negeri itu.

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Bagi solat Jumaat di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, jumlah jemaah ditetapkan tidak melebihi 50 orang tertakluk kepada keluasan dewan solat dengan penjarakan satu meter antara jemaah.

“Bagi solat fardu tidak melebihi 20 jemaah tertakluk kepada keluasan dewan solat masjid dan surau dengan penjarakan satu meter antara jemaah,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau  berkata Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat masing-masing akan menentukan jumlah jemaah melalui jemputan atau kaedah terbaik yang diputuskan bersesuaian.

Beliau juga berharap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dapat memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi sebaiknya oleh jemaah demi kemaslahatan bersama.

Kerajaan mengenakan PKPB semula di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang masuk hari kedua hari ini sehingga 27 Okt bagi mengekang penularan wabak Covid-19

Serentak dengan itu juga, masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain di tiga negeri itu sebelum ini adalah ditutup.

Selasa lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memaklumkan solat Jumaat, solat fardu berjemaah serta aktiviti mengimarahkan masjid dan surau di Selangor, ditangguhkan semasa tempoh PKPB.

Jais dipetik sebagai berkata pentadbir masjid dan surau di Selangor hendaklah memastikan solat Jumaat tidak dilaksanakan sepanjang tempoh penangguhan itu manakala solat fardu berjemaah pula hendaklah dilaksanakan dalam jumlah jemaah yang tidak melebihi tiga orang sahaja. – SM

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button