Politik

Sokongan pengundi Cina terhadap BN makin meningkat – Najib

Wartawan Suara Merdeka

MUAR 9 Mac – Sokongan pengundi Cina terhadap Barisan Nasional (BN) pada masa ini tidak seperti sewaktu BN
tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, berdasarkan sambutan dalam kalangan masyarakat Cina di setiap Dewan
Undangan Negeri (DUN) yang dilawatinya sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mendapati golongan
tersebut sudah kembali menyokong BN.

“Setakat ini, tanda-tanda ini amat mengalakkan misalnya sambutan yang saya dapat pada pagi ini tidak
mungkin saya dapat pada 2018.

“Ini sebenarnya satu perubahan yang cukup mengalakkan dan saya harap ia dapat diterjemahkan dalam bentuk
undi apabila rakyat Johor keluar mengundi Sabtu ini,” ujarnya kepada pemberita pada program Ramah Mesra
bersama pengundi Cina di sebuah Restoran 568 Sakeh Baru di sini hari ini.


Yang turut hadir adalah calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan, Gan Q’i Ru, calon
Bukit Naning, Datuk Mohd. Fuad Tukirin dan calon Simpang Jeram, Datuk Lokman Md Don.

Kehadiran Najib yang popular dengan jolokan ‘Bossku’ seperti biasa mendapat perhatian daripada masyarakat
Cina di kawasan tersebut yang tidak putus-putus berselfie dengan beliau serta melaungkan perkataan
‘Bossku’.

Justeru Najib meminta rakyat Johor keseluruhannya untuk keluar mengundi termasuk mereka yang menetap di
luar negeri ini untuk balik menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini.

Jelasnya, tanggungjawab itu amat penting bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang kukuh, stabil serta
mempunyai visi dan kemampuan.

“Hanya BN sahaja yang mampu menunaikan semua itu kerana kita tidak mahu melihat pisang berbuah dua kali
dan saya merayu pengundi melunaskan tanggungjawab mereka Sabtu ini. Pengundi harus buat pilihan yang
tepat,” ujarnya.

Ditanya debatnya dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai isu Felda,
Najib berkata, tidak ada sebarang jawapan termasuk soalan yang diberikan tidak dijawab oleh Presiden Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Katanya, Muhyiddin tidak boleh menuduhnya adalah orang yang menjadi punca telah merosakkan Felda.

“Orang Felda tahu saya yang mewarisi daripada Allahyarham Tun Abdul Razak, tak kan saya nak rosakkan Felda
malah sewaktu zaman saya, Felda jadi lebih maju dengan bantuan mereka terbela,” ujarnya.

habis…./

(Visited 78 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button